PENGKALAN CHEPA - Di sebalik pengisytiharan malam tadi
dan beberapa kali sebelum ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan
bertindak sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil
alih Putrajaya, Sinar Harian melaporkan Dewan Ulama Pas Pusat hari ini melahirkan 'bantahan'
sambil menegaskan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang "paling terbaik" untuk
menyandang jawatan itu.
Dikatakan, sayap ulama itu berpendapat bahawa Presiden Pas, yang juga Ahli Parlimen Marang, yang lebih layak menjawat jawatan tersebut.
"Saya ingin bertanya kepada seluruh perwakilan, siapa yang paling
terbaik untuk memimpin kerajaan Malaysia akan datang kalau bukan Tok
Guru Presiden," kata Hairun Nizam Mat Hussain ketika membahaskan ucapan
dasar presiden di sini, hari ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini adalah individu
yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia jika
pembangkang berjaya menawan tampuk pemerintahan.
Malam tadi, Lim Kit Siang dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat
mengisytiharkan bekas
Timbalan Perdana Menteri itu akan dilantik sebagai Perdana Menteri
sekiranya perikatan itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Anwar bakal Perdana Menteri Malaysia ketujuh bukan keenam," katanya secara terbuka.
Abdul Hadi dan Anwar juga berucap pada perhimpunan itu.
Awal Januari lalu, Pakatan Rakyat pernah mengulangi pendirian bahawa
Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya mereka memenangi
PRU13 kerana beliau dianggap "paling bersih".
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tiada pemimpin PKR, DAP dan
Pas yang lebih layak daripada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri yang
ketujuh sekiranya pakatan mereka menang pilihan raya akan datang.
"Ini bukan soal kita bela Anwar saja tetapi kita bela kerana beliau
saja (pemimpin di negara ini) yang paling bersih untuk menjadi Perdana
Menteri," katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Hairun berkata, Pas sepatutnya berkempen untuk presiden mereka bagi
menjawat jawatan Perdana Menteri dan bukannya untuk pemimpin parti
komponen PR yang lain.
"Bukan sebagai alasan untuk menaik-naikkan beliau, tetapi beliaulah
orang yang lain layak untuk menjadi pemimpin, Perdana Menteri pada masa
akan datang dan kita sebagai anak didik kepada Pas, tidak sepatutnya,
kita pula yang berkempen agar orang lain menjadi pemimpin sedangkan
negara yang ingin dibawa adalah negara yang berdasarkan syariat.
"Kita meletakkan satu keyakinan bahawa presiden kita orang yang
berkaliber untuk memimpin sebuah negara...," katanya mengundang sorakan
oleh para perwakilan.
Pas, DAP dan PKR membentuk PR sejak Mac 2008. Kerjasama ketiga-tiga
parti itu membawa kepada kemenangan di lima negeri selain penguasaan 84
kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2008.
Weblog Ibnu Hasyim ditanya mengenai siapa layak jadi PM antara Hj Abdul Hadi dengan Anwar Ibrahim,
"Kedua-duanya layak dan perlu mengikut nilai sokongan rakyat. Yang tidak layak ialah BN, yang itu perlu ditukar segera sebelum nasi menjadi bubur!" kata editornya Dr Mohd Hasyim. (IH)
1 comment:
formulanya mudah saja. pastikan pas menang besar baru boleh cerita jadi pm.
Post a Comment