Monday, November 19, 2012

Mesir Bukan Pengantara, Tapi Teguh Di Pihak Gaza


 



















KAHERAH: Bercakap secara eksklusif kepada Asharq Al-Awsat, Duta Mesir ke Pihak Berkuasa Palestin, Yasser Osman menekankan bahawa Kaherah bukan pengantara di antara Israel dan Palestin, tetapi berdiri teguh di pihak Palestin.

Menurutnya, Mesir sedang melaksanakan setiap usaha untuk menghentikan pencerobohan berterusan Israel terhadap Semenanjung Gaza, mengesahkan bahawa pihak Israel memulakan konflik dan tindakan dari puak Palestin adalah tidak lebih dari hanya mempertahankan diri.

Duta Mesir, bercakap kepada Asharq Al-Awsat melalui telefon dari Ramallah, juga menegaskan bahawa "tindakan diplomatik dan politik yang sedang diambil oleh Mesir bertujuan memberikan sokongan kepada Gaza, dan kami juga menghantar mesej kepada pihak Israel tentang keperluan untuk menghentikan pencerobohan."

Jurucakap Presiden Mesir, Dr Yasser Ali mengumumkan Rabu lalu bahawa Presiden Mohamed Mursi telah mengambil keputusan untuk memanggil balik duta Mesir ke Israel sebagai tindak balas kepada serangan udara Israel yang mensasarkan Semenanjung Gaza. Mursi juga mengarahkan Kementerian Luar Mesir untuk memanggil duta Israel ke Kaherah untuk mengeluarkan bantahan rasmi terhadap tindakan Israel.

Bercakap kepada TV kerajaan Mesir, jurucakap Presiden Mesir berkata, "Presiden Mursi telah mengikuti serangan kejam Israel di mana beberapa pejuang dan anak-anak rakyat Palestin terbunuh. Atas dasar ini, beliau telah memanggil balik duta Mesir ke Israel, dan telah mengarahkan wakil Mesir di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan, dan memanggil duta Israel di Mesir untuk membantah serangan tersebut."

Osman juga menafikan laporan media Israel bahawa Tel Aviv telah meminta pengantaraan Mesir untuk gencatan senjata berikutan pembunuhan komander Hamas, Ahmed al-Jabari, menekankan bahawa "Mesir bukan pengantara; kami berada di pihak Palestin untuk menghentikan serangan Israel terhadap Paletin."

Beliau menambah bahawa Kaherah telah memanggil untuk campur tangan Arab dan antarabangsa bagi menghentikan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin, sambil menambah "Mesir lebih prihatin untuk menghentikan pencerobohan, sebelum berbincang tentang gencatan senjata."

Duta Mesir kepada Pihak Berkuasa Palestin juga menafikan bahawa Kaherah berhubung dengan puak Palestin untuk menghentikan serangan roket ke Israel sebagai antara langkah ke arah gencatan senjata. Beliau memberitahu Asharq Al-Awsat "Israel memulakan pencerobohan, dan apa yang dilakukan puak Palestin adalah mempertahankan diri." Beliau menambah, "Ia adalah terpulang kepada pihak yang memulakan pencerobohan untuk menghentikannya."

Perdana Menteri Mesir, Hisham Qandil membuat satu lawatan selama tiga jam di Semenanjung Gaza Jumaat lalu di mana dia mengutuk pencerobohan Israel ke atas Gaza sebagai "bencana." Qandil melawat bangunan Council of Ministers di Gaza City, serta sebuah hospital yang merawat mereka yang cedera dalam serangan.

Perdana Menteri Mesir berkata, "Apa yang saya saksikan di Gaza adalah bencana dan saya tidak boleh berdiam diri. Pencerobohan Israel mesti dihentikan. "Beliau juga menegaskan bahawa "Mesir akan mencuba sedaya upaya untuk menghentikan pencerobohan dan mencapai perjanjian gencatan senjata".

Timbalan Perdana Menteri Israel, Moshe Yaalon juga turut memberi gambaran bahawa Tel Aviv berminat dalam gencatan senjata, memberitahu radio Israel "Jika Hamas mengatakan ia memahami mesej dan melakukan gencatan senjata untuk tempoh yang lama melalui perantaraan Mesir atau sesiapa sahaja, maka itulah apa yang kami mahukan. Kami mahu ketenangan di selatan dan pencegahan yang kuat”.

Beliau menambah, "Rakyat Mesir telah menjadi saluran untuk menyampaikan mesej. Hamas sentiasa menggunakan mereka untuk meminta gencatan senjata. Kami sedang berhubung dengan Kementerian Pertahanan Mesir, dan ia boleh menjadi satu saluran di mana gencatan senjata dapat dicapai."

Walau bagaimanapun, ia jelas kelihatan bahawa pendekatan luar Mesir telah berubah dengan ketara sejak rejim Mubarak dijatuhkan dan pelantikan Presiden yang disokong Ikhwanul Muslimin. Presiden Mohamed Mursi, bercakap Jumaat lalu, menegaskan bahawa "Kaherah tidak akan meninggalkan Gaza sendirian" dan memanggil serangan Israel ke atas wilayah itu sebagai "satu pencerobohan secara terang-terangan terhadap kemanusiaan."

Mursi membuat komen tersebut dalam ucapan selepas solat Jumaat. Beliau menegaskan bahawa "Kaherah tidak akan meninggalkan Gaza sendirian, Mesir hari ini bukan Mesir yang semalam, dan Arab hari ini bukan Arab yang semalam”. (Lihat juga Najib & Morsi Gesa Hamas Elak Konflik? Betul Ke?)

Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-30: Ke Arah T/Tengah Yang Islamik?
E-Buku IH-30: Ke Arah T/Tengah Yang Islamik? E-Buku IH-57: Ikhwan Mulimin & PAS
E-Buku IH-57: Ikhwan Mulimin & PAS

No comments:

Post a Comment