Wednesday, November 07, 2012

Muktamar: Negara Berkebajikan Teras Perpaduan

Presiden PAS
MUKTAMAR Tahunan PAS Ke-58 di Kota Bharu kali ini mempunyai dua makna dan kesan yang penting.

Pertama, ia diadakan di tengah-tengah suasana menjelang PRU Ke-13 yang ditandai pelbagai titik hitam, terutamanya isu perkauman, rasuah, nepotisme,  malah isu daftar pemilih yang dilihat masih belum bersih. Di tengah suasana begini, PAS sendiri menghadapi gelombang fitnah dan tuduhan tajam dari musuh politiknya, namun setakat ini PAS mampu menghadapi cabaran ini.

Kedua, muktamar ini diadakan dalam suasana Hijratul-Rasul yang mempunyai pelbagai petunjuk untuk ummah dalam menghadapi gelombang cabaran. Muktamar PAS Ke-58 ini akan diadakan dari 14 hingga 18 November, manakala muktamar dewan-dewan akan bermula 14 November.

Ia bertemakan 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' akan diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan. Pentingnya muktamar kali ini ialah diadakan dalam salam suasana Hijratul-Rasul dan dalam suasana menjelang PRU ke-13 di mana ia muktamar terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang.

Perbincangan mengenai persiapan menghadapi PRU ke-13 tentunya akan mendominasi muktamar tersebut, di mana akan dibincangkan sampai ke tahap mana persiapannya di samping isu-isu mengenai tuntutan pilihan raya bersih dan adil yang berterusan.

Muktamar kali ini tidak ada pemilihan, namun tidak kurang pentingnya, terutama untuk menunjau perbahasan mengenai persiapan pilihan raya yang akan dibangkitkan oleh perwakilan negeri-negeri.

Seperti diketahui Negeri Selangor yang kata kaya dan ternama itu menjadi sasaran utama Umno/BN untuk memenanginya kembali, yang dilihat ‘dengan apa cara sekalipun’. Sebab itu, persiapan yang cukup sangat diperlukan oleh menangkis serangan ini.

Dalam masa yang sama, negeri selatan Semenanjung – Johor dan Negeri Sembilan – dilihat mempunyai potensi besar bagi Pakatan Rakyat untuk memenanginya, sementara Melaka juga sedang mengalami perubahan.

Perwakilan Kedah juga tentunya akan melakarkan kemajuan persiapan pilihan rayanya untuk mempertahankan negeri Jelapang Padi itu. Diberitakan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat Kedah semakin kukuh.

Sementara Perlis, Pahang dan Terengganu juga penting untuk dilihat persiapannya di tengah tanda-tanda bahawa Pakatan Rakyat negeri-negeri tersebut juga berpotensi untuk menang.

Sementara negeri Perak pula, ada pertanyaan, bolehkah PAS/Pakatan Rakyat Perak ‘merampas’ semula negeri itu dan bagaimana persiapannya? Inilah persoalan yang dinanti-nantikan oleh para muktamirin untuk dibahaskan.

Tentunya dalam soal ini Ustaz Abu Bakar Hussian sebagai Pesuruhjaya PAS Perak dan Ir. Nizar Jamaludin serta team pimpinannya menjadi perhatian muktamirin untuk mendengar kemampuan PAS Perak memenangi kembali Perak.

Bagi Kelantan, pengalaman dan kejayaan cemerlang PAS memerintah 22 tahun dan dengan persiapan sejak bertahun-tahun kelihatannya sukar tergugat walaupun menghadapi asakan berterusan. Kejayaan PAS

Ucapan Dasar Datuk Seri Presiden yang penting itu dijangkan akan mengupas pelbagai isu dalaman dan luar negara. Temanya sangat menarik - Negara Berkebajikan Teras Perpaduan - dan ia adalah pengisian kepada negara Islam di mana selama ini PAS dituduh sudah tidak lagi memperjuangkannya.

Ucapan Dasar ini dijangka menghuraikan konsep 'Negara Berkebajikan’ dan tentunya akan menjawab persoalan negara Islam bahawa jika ‘Negara Berkebajikan’ ini dapat dilaksanakan, di mana keadilan menjadi terasnya, nescaya akan terserlah wajah negara Islam seperti yang sering disebut-sebut.

Di dalam ‘Negara Berkebajikan’ ini terserlah kepimpinan yang beramanah, keadilan dan kesaksamaan kepada semua rakyat, kemakmuran negara tidak berkisar di kalangan satu gololongan elit pemerintah saja, kemiskinan ditangani secara serius di mana rakyat diberi hak dan harga diri.

Tema muktamar ini sangat sesuai dengan tuntutan masa kini, di mana PAS mengenengahkan isi dan pelaksanaan negara Islam itu dan bukan label atau sebuah jenama popular. Semuanya ini akan menjelaskan kekeliruan sesetengah pihak mengenai apa yang disebut negara Islam.

Sementara itu PAS sebagai pemegang peranan utama dalam main stream parti politik di negara ini mempunyai fungsi penting untuk menangani kekalutan dalam negara dengan penuh bijaksana.

Bagaimanapun PAS telah melakukan banyak perubahan sesuai dengan realiti masa kini. Kehdirannya dalam  Pakatan Rakyat melalui pendekatan Tahalluf-Siasi sangat dihormati oleh rakan-rakan, termasuk kalangan bukan Islam.

Oleh itu. desakan musuh supaya PAS menarik diri dari Tahalluf-Siasi, konon kerana tidak menguntungkan Islam, tidak menggugat keyakinan pendukung PAS supaya terus berada dalam Pakatan.

Muktamar kali ini, seperti saya katakan, sangat penting justeru ia kebetulan diadakan bertepatan Muharram, bulan Hijratul-Rasul. Oleh itu, pengisian dari semangat dan falsafah Hijratul-Rasul ini sewajarnya menjadi wahana kepada perjuangan PAS.

Hijratul-Rasul itu menatijahkan kejayaan Rasul-Allah itu mengangkat martabat manusia, membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia, menegakkan keadilan sejagat dan peduli umat.

Rasulullah s.a.w. telah berjaya mentransformasikan Madinah – yang dulunya padang pasir berdebu dengan masyarakatnya berpecah belah -telah menjadi bandar Madinatul-Munawwarah, bandar cahaya dengan masyarakat majmuknya yang uniq di mana Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin.

Para muktamirin di muktamar ini sewajarnyalah merenung model paling agung sepanjang sejarah manusia di dunia ini, iaitu bagaimana kepimpinan Rasulullah s.a.w. dengan visi Islamnya dapat membina masyarakat Madinah dalam sebuah kesatuan yang kukuh berasaskan aqidah yang satu.

Ertinya, masyarakat majmuk dengan kepelbagaian agama dan ras bukan alasan untuk menghalang perpaduan, justeru Islam itu sangat adil dan saksama. Di sinilah PAS berperanan sebagai prime-mover, penggerak utama ke arah perpaduan ini – walaupun di tengah pelbagai kaum dan agama - untuk menikmati keadilan Islam yang menjadi rahmat seluruh alam.

Selamat bermuktamar.

3 comments:

Anonymous said...

Tahniah! Akhirnya DAP berjaya tarbiahkan PAS.

Hilang Negara Islam, jadi Negara Berkebajikan (Sosialis) sebagaimana diperjuangkan DAP.

Negara Islam di bawahnya ada kebajikan. Tapi Negara Kebajikan di bawahnya belum tentu Islam.

Pasni kalau hasil arak & judi pon boleh diguna untuk tujuan kebajikan. sebab PAS perjuangkan Negara Kebajikan, bukannya negara Islam.

DAP Ganti PAS!


x-aktivis PAS

Anonymous said...

He kau buatlah kerja lain jangan nak kepoh dengan PAS dan jangan risau tentang itu.
PAS tak akan terkeluar dari landasan kerana berteraskan Quran dan Sunnah tetapi Umno dah lama hanyut kerana nak sebut Islam pun takut.
Lain kali jangan menyebuk ye

Anonymous said...

PAs tak terkeluar dari landasan Al-Quran & sunnah?

1) Gadai kalimah Allah kepada Kristian;

2) Hentam JAIS sebab buat pemeriksaan pada Gereja DUMC yang tak berdaftar & cuba murtadkan orang Islam di Selangor;

3) Defend Nurul Izzah yang kata orang Melayu pon perlu diberi hak kebebasan untuk pilih agama termasuk selain Islam.

dan lagi, lagi dan lagi...

Jom kita pakat2 undi PAS, boleh ahanamkan Islam & orang Melayu. Janji UMNO mampus, pedulik hapa aku pasal yang lain...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails