Friday, November 16, 2012

Negara Berkebajikan Teras Perpaduan -Pres. PAS

KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan ahli parti di semua peringkat bersiap sedia pada tahap maksimum bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang semakin hampir.

Beliau berkata, ahli biasa mahupun pimpinan di setiap peringkat harus berada dalam keadaan bersedia kerana mereka akan berhadapan dengan provokasi media dan BN yang mahu memporak perandakan PAS dan Pakatan Rakyat.

"Kita akan berdepan dengan mainan nakal serta provokasi media dan BN yang terus menerus melaga-lagakan pimpinan PAS ke tahap yang tidak dapat kita bayangkan, akan terus memporak-perandakan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat sebagai langkah untuk melemahkan saf dan semangat kita.

"Jangan mundur, jangan terkeliru. Dengarlah panduan dan kenyataan rasmi yang diberikan oleh pimpinan tertinggi dari masa ke semasa. Semua pihak dalam parti perlulah mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang meremehkan kita di hadapan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-58 yang bertema 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' di Putik, dekat sini, hari ini.

"Saya mengarahkan kepada semua petugas, ahli dan pimpinan PAS untuk sentiasa menggenggam matlamat perjuangan untuk Islam, memurnikan fikrah perjuangan, tidak leka, tidak melaksanakan perkara yang merugikan perjuangan, seterusnya tidak mencelarukan fikrah dengan urusan yang tidak penting," katanya.

Ustaz Hadi juga menyeru semua pihak dalam parti melaksanakan tugas pilihan raya dengan penuh hikmah dan tertib agar rakyat mudah memahami dan menerima perjuangan PAS.

"Saya mengarahkan kepada semua pihak dalam parti supaya melaksanakan tugas pilihanraya masing-masing dengan penuh hikmah, mengajak rakyat untuk berubah, bukan memusuhi rakyat, bertemu, bercakap dan menulislah dengan bahasa yang difahami oleh mereka, semuanya dengan penuh keikhlasan untuk mendapat keredhaan Allah SWT," katanya lagi.

Selain itu beliau turut membuat seruan kepada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat agar menggunakan menggunakan masa yang ada untuk menyelesaikan urusan rakyat, meneruskan kerja kebajikan tanpa meninggalkan gerak kerja parti hingga ke peringkat bawah dalam masyarakat.



"Saya mengarahkan agar semua jentera parti, dewan-dewan, lajnah, negeri untuk menumpukan perhatian kepada kerja pilihan raya, dengan ikrar untuk mempertahankan negeri yang ditadbir menerusi muafakat Pakatan Rakyat, dan seterusnya melebarkan ke negeri lain, hinggalah ke pemerintahan pusat," katanya.

Turut diingatkan beliau agar semua peringkat dalam parti menjaga hubungan sesama sendiri dan memperbaiki hubungan dengan Allah supaya segala urusan tidak tergendala.

"Saya mengarahkan semua saf kepimpinan dan ahli, marilah sama-sama kita mengeratkan ukhuwwah sesama kita, dan terus memperkukuhkan hubungan hablun minallah semua petugas dan ahli PAS sebagai senjata yang akan menguatkan semangat berjuang, tidak mundur, dan memohon pertolongan dari Allah SWT serta bertawakkal kepada-Nya.

"Suasana menghadapi pilihan raya janganlah menjadi penghalang kepada memperbanyakkan amal ibadat, solat, puasa sunat, bermunajat yang akan menjadi benteng dalam perjuangan kita ini kerana kemenangan Islam adalah kurniaan Allah SWT," katanya. (IH/Hrkh)

No comments:

Post a Comment