BEBERAPA pekerja melancarkan mogok di sebuah landasan kereta api di Brussels.
Pekerja-pekerja di selatan Eropah lancar mogok
MADRID - Pekerja-pekerja di seluruh selatan Eropah melancarkan mogok bagi membantah terhadap pengumuman dasar langkah penjimatan dan kenaikan cukai yang diumumkan di empat buah negara semalam. Mogok itu menyebabkan operasi kilang-kilang dan lebih 700 penerbangan dibatalkan. Beberapa pemimpin dunia dan pakar ekonomi berkata, langkah itu dianggap perlu bagi membetulkan dasar kewangan awam selepas bertahun-tahun pemerintah terlebih belanja.
Bagaimanapun, pihak kesatuan sekerja melancarkan mogok umum di Sepanyol, Portugal, Greece dan Itali bagi membantah langkah penjimatan perbelanjaan yang dilaksanakan pemerintah. Menurut Gabungan Kesatuan Sekerja Perdagangan Eropah, mogok melibatkan empat buah negara itu dilakukan secara serentak buat kali pertama.
"Di sesetengah negara kemarahan rakyatnya sudah sampai ke peringkat kemuncak," kata setiausaha agung gabungan kesatuan, Bernadette Segol.
"Kami memerlukan penyelesaian segera bagi membolehkan ekonomi kembali ke landasan yang betul, bukan dengan mengadakan langkah-langkah penjimatan.
"Para pemimpin Eropah melakukan kesilapan besar jika tidak mendengar suara rakyat yang membuat bantahan di jalan-jalan raya," tambahnya.
Mogok itu telah menjejaskan operasi beberapa buah kilang termasuk kilang kereta Volkswagen di utara Navarra dan Ford di timur Valencia, lapor media Sepanyol.
Di Portugal, mogok telah menjejaskan perkhidmatan komuter, feri, kereta api, kutipan sampah dan kesihatan apabila 90 peratus kakitangan hospital turut menyertai bantahan yang diadakan itu. Lebih 40 buah bandar sekitar Portugal menjadi pusat bantahan terhadap dasar langkah penjimatan yang diumumkan pemerintah.
Mogok turut menyebabkan industri penerbangan terjejas teruk apabila syarikat penerbangan Iberia, Iberia Express, Air Nostrum, Vueling, Air Europa dan easyJet membatalkan lebih 600 penerbangan termasuk 250 penerbangan antarabangsa. - Agensi
No comments:
Post a Comment