HALAMAN HIBURAN
Jenifer Lopez
KL: Khuatir generasi muda terus dibanjiri idola tanpa teladan, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam penganjuran Konsert Elton John, serta Konsert Jennifer Lopez.
Ini memandangkan konsert tersebut dianjurkan taktala negara masih bergelut untuk merungkaikan pelbagai kemelut sosial yang melanda negara ini.
Persembahan Elton dibuat melalui Elton John & Band: 40th Anniversary of the Rocket Man pada 29 November 2012 manakala Jenifer pula melalui Jennifer Lopez live in Malaysia pada 2 Disember ini.
Abim juga menilai penganjuran konsert seakan-akan menggambarkan sikap acuh tidak acuh pihak tertentu terhadap pelbagai bantahan yang dikemukakan terhadap penganjuran konsert-konsert serta program hiburan melampau membabitkan artis-artis dari luar Negara.
Hiburan merupakan elemen berpengaruh terutama sekali di kalangan golongan remaja. Hiburan yang bersifat mendidik akan mendorong golongan remaja untuk mengembangkan sahsiah diri mereka secara positif.
Akan tetapi sekiranya mereka menerima pendedahan dari hiburan yang bersifat hendonistik semata-mata, ia akan mendorong golongan muda ini untuk bertindak menurut kepuasan hawa nafsu semata-mata.
Tambahan pula, salah seorang artis tersebut secara terbuka mengamalkan hubungan sejenis (gay) yang boleh memberikan ekspresi keteladanan yang salah di kalangan golongan muda.
"Seharusnya ancaman LGBT serta beberapa gejala songsang yang lain membuatkan pihak-pihak yang berwajib lebih berwaspada serta berhati-hati dalam menyaring sebarang kemasukan serta penganjuran hiburan membabitkan artis-artis luar negara," kata Setiausaha Agungnya, Mohamad Raimi Abdul Rahim.
Penganjuran kedua-dua konsert tersebut, katanya, merupakan titik hitam di sebalik kemilau kebangkitan hiburan Islamik serta selebriti dakwah di negara ini.
Ketegasan serta keprihatinan dari pihak berwajib serta masyarakat adalah perlu untuk mengelakkan golongan muda dari terus dibanjiri “idola” tanpa sebarang rujukan keteladanan yang positif, tegasnya.(IH)
No comments:
Post a Comment