Monday, December 10, 2012

Indonesia: Pemilu 2014, Parti SBY Akan KO?


Nasib malang yang menimpa Parti Demokrat, dimana ketua dewan pembinanya adalah presiden Dr Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) tidak pernah berhenti dan silih berganti.

Apa tidaknya parti yang memimpin koalisi pemerintahan dimana didalamnya ada parti-parti  Golkar, PPP, PKS, PAN dan PKB, seorang demi seorang pemimpinnya didapati bersalah.

Ia bermula dengan Muhammad Nazaruddin, bekas Bendahara Parti Demokrat yang sempat melarikan diri sebelim ditangkap oleh Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK-semacam SPRM) di benua Amerika.

Terlibat dengan berbagai kes, terutama dalam pembangunan bangunan sukan, di Palembang  yang digunakan untuk Sea-Games lalu dan terkini pembangunan bangunan sukan di Bukit Hambalang, dipinggiran Jakarta.

Dan setelah Nazaruddin terkait pula nama Angeline Sondakh, ahli parlimen dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Demokrat, juga terlibat dengan rasuah dan terbaru minggu lalu adalah Dr Andi Malarangeng, Setiauasaha Dewan Pembina Parti Demokrat yang juga menteri belia dan sukan.

Nazaruddin dan Angeline sudah dipenjarakan, Andi sudah dinyatakan sebagai terlibat dengan kes rasuah pembinaan bangunan sukan di Bukit Hambalang yang merugikan negara sekitar RM 7,5 juta.

Bagusnya Andi dengan gentleman dia mengundurkan diri dari jawatan menteri dan setiausaha dewan pembina Parti Demokrat, dan dialah satu-satunya menteri yang masih menjawat dinyatakan rasuah oleh KPK.

Walau tujuannya berundur adalah untuk menjaga nama baik dan imej Parti Demokrat, namun nama Parti Demokrat sudah lama tercoreng.

Bahkan menurut kajian Lembaga Survey Nasional (LSN) kedudukan Parti Dermokrat begitu jauh di bawah hanya menjangkau 10.5%, namun dengan kes Andi ini, Parti Demokrat namanya terus merudum, dan gelaran buat Parti Demokrat sebagai banknya para perasuah semakin melekat.
Slogan Parti Demokrat selama ini bersih, cerdas dan santun, yang semuanya adalah tema-tema akhlak atau moral politik, namun kini tamatlah sudah.

Parti Demokrat yang diasaskan SBY tahun 2004 yang mengantarkannya ke kursi presiden, tidak lebih sebagai pengganti Parti Golkar yang begitu berkuasa zaman Suharto sampai Mei 1998.

Golkar begitu hebat dengan amalan korupsi, kolusi dan nepotism (KKN)nya, belum lagi kezaliman dan salahguna kuasa, serta penindasan dan kebenciannya kepada gerakan Islam dan pejuang hak asasi serta
demokrasi.

Kini beranikah KPK menyiasat Timbalan Presiden Prof Dr Boediono, yang dikaitkan dengan kes kehilangan wang Bank Century, kes ini berlarut-larut, nampaknya saja ditangguh-tangguh oleh pemerintah, kerana ini juga berkait dengan salahguna kuasa dan rasuah pemimpin tertinggi Parti Demokrat.

Dan adakah juga untuk sementara nama Anas Urbaningrum ketua umum Parti Demokrat, dianggap “bersih” dalam kes Bukit Hambalang, padahal namanya juga banyak disebut terlibat oleh Nazaruddin dalam persidangannya di mahkamah Jakarta.

Anas termasuk dianggap pemimpin masa depan, namun kuasa, harta dan tahta membuatnya lupa diri, padahal dia dulunya adalah bekas ketua umum Himpunan Mahasiswa Islam (HMI), pemimpin intelektual berwatak, salah masuk parti membuatnya berubah kerana berada di persekitaran yang tidak bersih.

Parti Demokrat memang tidak nampak dalam agendanya untuk memartabatkan agama Islam, apalagi untuk melangkah jauh untuk menyentuh pengamalan syariat Islam.

Yang ada hanyalah Parti Demokrat dipenuhi oleh pemimpin dan aktivis Jaringan  Islam Liberal (JIL), termasuk nama Ulil Abshar Abdalla, yang merupakan salah seorang ketua biro dikepemimpinan pusat parti Demokrat.

Memang tidak dinafikan Indonesia negara yang dikitari oleh lingkaran api Pacific, tetapi tidakkah kita berfikir bala bencana dan musibah yang tidak henti menimpa Indonesia, adalah merupakan azab dari Ilahi.

Sebagaimana lagu Ebiet G Ade negeri kita penuh bencana, kerana kita sudah tidak bosan dengan dosa-dosa.

Maka pilihanraya umum pada awal April 2014, tidak mustahil Parti Demokrat akan “KO” terus atau kalah teruk, walaupun dia adalah pemenang pilihanraya umum  pada PRU April 2009, terlebih lagi nama SBY yang dianggap tidak banyak membawa perubahan dan kemajuan, selama dua penggal menjadi presiden Republik Indonesia sudah tidak boleh lagi dijual, kerana sudah tidak boleh mencalonkan diri lagi menjadi presiden.

Parti Demokrat harus mencermin diri dan bermuhasabah, dan begitu juga dengan parti yang berkuasa di negara mana saja, dengan koalisinya yang memerintah begitu lama dan dianggap sudah berkarat dengan kepalsuan dan kekotorannya.

Hendaknya sedar diri, bahawa kuasa itu tidak selamanya di tangan, tiba masa dan ketika nya akan berpindah tangan, apalagi rakyat sudah muak dengan; kepalsuan, kepuraan-puraan, janji yang tidak ditepati, rakyat jauh sekali diberi keutamaan.

Hati nurani dan dhamir rakyat melihat dan menilai, dapat merasakan yang mana intan dan mana perak atau emas palsu, wujudkanlah pengundi hantu sebanyak manapun, namun majoriti undi rakyat akan tetap merobahnya.

Lebih utama lagi bila doa orang difitnah, dizalimi serta rakyat yang terabaikan, Allah Maha Mendengar dan selalu bersama orang-orang teraniaya dan sesuai janji Allah kemenangan akan diberikan kepada orang yang hatinya tidak pernah berhenti berzikir dan berfikir, pejuang kebenaran dan keadilan. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails