SERANGAN ke atas Presiden Pas khususnya berhubung Amanat Haji Hadi dilakukan semata-mata kerana ada ura-ura nama beliau disenaraikan sebagai calon PM. Sedangkan sebelumnya beliau jarang diserang sebegini hebat.
Di Malaysia, jawatan Perdana Menteri seolah-olah hak Umno. Sesiapa sahaja yang disebut-sebut akan mengambil alih jawatan ini akan diserang habis-habisan. Mungkin ramai yang masih ingat bagaimana Pertubuhan Al-Arqam mengeluarkan sebuah buku yang menggambarkan Ashaari Mohammad sebagai bakal Perdana Menteri. Selepas itu, Al-Arqam terus diserang habis-habisan sehingga segala perniagaan, program dan perkumpulannya dipantau; bahkan galakan poligami turut diserang.
Sedangkan asal bantahan hanya kepada amalan Aurad Muhammadiah. Begitulah nasib sesiapa yang disenarai sebagai Perdana Menteri. Walaupun kita mengakui ada beberapa amalan dan keyakinan bertentangan dengan syarak, tetapi antara sebab hebatnya serangan adalah kerana ada cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.
Sudah tentu, rakyat masih ingat bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang kerana namanya disenarai sebagai Perdana Menteri. Kini Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula diserang sedangkan namanya hanya disebut oleh perwakilan dalam Muktamar Pas bagi menolak tohmahan Umno bahawa kalau Pakatan Rakyat menang, DAP akan jadi Perdana Menteri.
Itulah yang diwar-war di kalangan pengundi Melayu di kampung-kampung. Kini terbukti apa yang dicanang bahawa DAP akan menjadi Perdana Menteri itu berjaya ditolak dengan munculnya cadangan ini. Hasilnya, kini muncung senapang Umno mula dihalakan kepada Presiden Pas pula. Kita yakin selepas ini pelbagai tohmahan, tuduhan, fitnah akan dibuat ke atas beliau kerana di Malaysia sesiapa yang dicadangkan sebagai Perdana Menteri akan menjadi sasaran serangan media BN.
Rakyat mempunyai satu peluang cerah untuk menyedarkan Umno supaya jangan lagi berfikiran bahawa seolah-olah jawatan Perdana Menteri itu hak eksklusif Umno sahaja di PRU13 dengan menyokong Pakatan Rakyat sebagai kerajaan persekutuan yang baru. (IH/SH)
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan Pas Pusat
No comments:
Post a Comment