KUALA TERENGGANU – Pas tidak kisah gambaran DAP berhubung kerjasama
antara kedua-dua parti itu, termasuk menyifatkan hubungan mereka
berdasarkan atas prinsip pluralisme atau kepelbagaian agama.
Perkara itu dijelaskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
yang mengatakan pluralisme merupakan satu bentuk fahaman yang tidak
boleh dipaksa. Bagaimanapun, beliau meminta orang Islam supaya berpendirian tegas terhadap agama sendiri.
“Pluralisme itu merupakan kehidupan manusia yang kita tidak boleh paksa
dan kita tegas dengan agama kita sendiri kerana ALLAH TAALA membawa dua
pendekatan. Pertama, tiada agama yang ALLAH terima melainkan Islam.
“Yang kedua, tiada paksaan dalam agama dan sebab itu dalam negara Islam
diizinkan bukan Islam jadi rakyat,” katanya kepada pemberita ketika
ditemui pada Majlis Perasmian Himpunan Kebangkitan Rakyat Pas Ganti Umno
6.0 di Paka, semalam.
Majlis dirasmikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan dihadiri pimpinan Pas Terengganu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit
Siang bahawa parti itu mendekati dan bekerjasama dengan Pas dalam PR
bukan kerana negara Islam, tetapi atas prinsip galakan demokrasi,
pluralisme, kepelbagaian budaya, hak asasi manusia, hak wanita dan
pembangunan negara.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi menjelaskan, kerjasama Pas dan DAP berlaku
atas titik persamaan dengan membiarkan hak masing-masing dalam perkara
berbeza termasuklah soal hudud.
“Kita bersama-sama DAP dalam menentang kezaliman, menentang ISA, OSA,
penyelewengan, ekonomi, rasuah. Itu sama, hudud dan kisas itu tidak
sama.
“Bahkan kita kemukakan Undang-Undang Jenayah Syariah di Kelantan dan
Terengganu di mana kita buat kelonggaran yang diizinkan Islam, dengan
orang bukan Islam boleh pilih mana undang-undang yang dia mahu,”
katanya.(SH)
No comments:
Post a Comment