Oleh
Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
KULIAH URA (UNIVERSITI RAMADHAN AL-MUBARAK)
1) Di dunia ini, semua makhluk adalah daripada tanah. Tanah adalah unsur
yang mengumpulkan sifat-sifat nafsu dan keserakahan. Ia terserlah jelas
dalam cara hidup haiwan. Kerana itu kita biasa menamakannya nafsu
kebinatangan.
2) Manusia juga dicipta daripada tanah. Maka
sifat-sifat kebinatangan dikandung tubuhnya. Manusia menjadi jahat
kerana nafsunya. Dan manusia bertambah jahat, bahkan sehingga lebih
buruk daripada binatang kerana mereka memiliki kurniaan akal yang tiada
pada binatang. Dengan akal yang dibiar mengikut kehendak nafsu, manusia
bervariasi melakukan kerosakan dan kejahatan sehingga tak tergambar
dalam kehidupan haiwan di hutan.
3) Sebelum kurniaan akal, binaan
manusia berbeza daripada binatang dan semua kejadian di bumi dengan
unsur kedua, iaitu unsur ruh. Ruh bukan dari bumi, bahkan dari langit,
hidup bersama para malaikat menyembah tuhan di langit. Malaikat Jibril
diberi nama al Ruh al Amin, sebagai satu pengenalan kepada hakikat
kehidupan makhluk tuhan di langit. Ruh memiliki sifat-sifat ketinggian
dan memburu kemuliaan.N
4) Dengan roh, manusia membina dan
membaiki diri. Ia mengenal tuhan seasal tanah airnya di langit, sebelum
dihantar ke bumi, ke sangkar tanah manusiawi. Ia akan melonjak mencari
kemuliaan, bermimpi untuk menyembah tuhan sebagaimana malaikat Allah.
Bahkan, dengan akal yang memandu dengan ilmu kurniaan Allah, manusia
mampu melonjak dan terbang di medan ubudiyah mengatasi kehebatan para
malaikat Allah. Justeru perlumbaan manusia di medan rohani menuju tuhan
amat terbuka dan dipenuhi contoh-contoh dan al mathal al a’la yang
hebat.
5) Justeru pertembungan tidak dapat dielakkan. Nafsu dan
roh saling tarik menarik. Manusia acap tersadung, bahkan rebah di jalan
mencari hakikat kehidupan. Ia adalah hikmat penciptaan manusia. Manusia
diuji agar memenangi perlawanan agung sepanjang zaman. Perlawanan yang
menjadi tunjang ciptaan langit dan bumi oleh Allah tuhan pencipta.
6)
Nafsu lebih terkedepan memenangi pertembungan ini. Antara sebabnya,
gelanggang adalah bumi dan tanah. Nafsu daripada tanah. Maka ia memiliki
sebab-sebab penguasaan yang lebih baik. Ia seperti menjadi tuan rumah
sebuah pertarungan. Godaan-godaan dunia begitu mendominasi berbanding
godaan akhirat yang sukar dikesan. Maka keghairahan nafsu di dunia ini
begitu sukar dibendung kecuali roh memiliki kekuatan dan bukaan baru
yang mampu melonjakkannya dan melepaskannya daripada pengaruh dan
kekangan nafsu.
Bagaimana ruh manusia memenangi perlawanan ini?
7)
Allah merahmati manusia. Diciptakannya untuk mencapai kemuncak
kemuliaan, bukan menghumbankannya ke lembah hina. Bukankah ditunjukkan
kehebatan Adam alaihissalam di hadapan para malaikat, lalu disuruh
bersujud kepadanya tanda penghormatan kepada makhluknya yang terbaik?
Justeru rahmat Allah ke atas manusia hadir sepanjang masa, apatah saat
manusia mencari-cari dan kelemasan.
8) Ada malaikat yang sentiasa
berdoa demi kebahagiaan manusia, bahkan membantu mereka menempuh
kesusahan dengan izin tuhannya. Kemudian ada insan maksum yang dihantar
tuhan ke pelusuk mana manusia tinggal. Mereka para nabi yang sering
diperteguhkan dengan rakan-rakan, bahkan paling jitu, dengan kitab-ktab
langit yang suci yang tak tersentuh kekotoran dan tangan iblis. Jalan
lurus terbentang jelas dan hidayat tuhan memancar terang, manakala pintu
taubat ibarat bunga-bunga taman yang menggamit keindahan dan
keterujaan.
9) Dia berfirman saat Adam diturunkan ke bumi; “Maka
jika sekiranya datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka barang siapa
yang mengikut petunjuk-Ku, tiadalah lagi ketakutan menimpa ke atas
mereka dan tiadalah mereka itu bersedih lagi.” – (al Baqarah: 38) Itu
janji tuhan. Maka pertarungan menentang iblis, nafsu, kejahatan dan
pendukungnya di bumi ini bukanlah keseorangan dan terbiar bagai menanti
ketewasan dan penyesalan.
10) Kemuliaan manusia adalah pada
pancaran akalnya. Akal bersinar dengan pengaruh ilmu yang diperolehnya.
Sebagaimana ilmu bawahan duniawi menyinarkan laluan hidup duniawi dan
membina tamadun agung di dunia, begitulah ilmu atas dan akhirat
mencerahkan laluan menuju kehidupan akhirat. Nabi adalah bapa ilmu dan
hikmat, manakala al-Quran adalah ilmu dan hikmat juga. Justeru al-Quran
adalah kurniaan atas dan langit yang paling penting menyuluh manusia
memasuki kubur. Begitulah nabi yang membaca dan mensyarah al-Quran dan
al-hikmah.
11) Difardhukan ibadah solat lima waktu sebagai
pencegah tarikan nafsu melakukan kejahatan. Dengan solat, ingatan kepada
Allah dan akhirat kekal di dalam hati. Manusia solat akan berhenti
melakukan kejahatan atau jika terlanjur, penyesalan dan ketakutan
meliputi diri, lalu beristighfar dan memohon taubat. Begitu seluruh
rukun yang lima. Ia mendidik hati dengan kemuliaan dan cinta kepada
kerahmatan dan ketinggian.
12) Janganlah lupa ibadah puasa!
Terkhusus ia untuk pertarungan menentang dan seterusnya mendidik nafsu
agar boleh diurus dengan baik. Nafsu dilemahkan dengan kelaparan
bernizam dan bersistem 30 hari berturutan. Ia tempoh terhangat meredakan
asakan nafsu dan pengembalian roh ke medan penguasaan terhadap diri
setiap mukmin.
13) Al-Quran turun di bulan Ramadan membantu roh
dengan suluhan akal yang murni dengan ajaran al-Quran yan penuh hidayat
dan hikmat. Justeru, penantian lailatul qadr adalah kesungguhan memuncak
bagi hamba-Nya yang beriman.
Selamat memburu malam lailatul qadr yang agung. Semoga Allah merahmati sampai ke syurga-Nya. Aamin.
http://nikabduh.com
Sila berkuliah..
E-Buku IH-58: 'Universiti Ramadzan' Al-Mubarak.