PUTRAJAYA: Lima orang Hakim Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak rayuan Utusan Malaysia ke atas keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memihak kepada anggota Parlimen Shah Alam, Haji Khalid Samad.
Dalam keputusannya hari ini Mahkamah Persekutuan memutuskan tidak memberikan kebenaran kepada pihak Utusan untuk merayu sekaligus keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi sebelum ini dikekalkan. Mahkamah juga memerintahkan Utusan membayar kos sebanyak RM10,000-00.
Lima orang Hakim yang bersidang di dalam rayuan hari ini adaalah Hakim Tan Sri Richard Malanjun, Hakim Datuk Bentara Luar Datuk Haji Hashim Bin Datuk Hj. Yusoff, Hakim Datuk Ahmad Bin Hj Maarof, Hakim Datuk Hasan bin Lah dan Hakim Datuk Jeffery Tan Kok Wha.
Mahkamah Rayuan pada 24 Mei 2012 telah menolak dengan kos rayuan Utusan Malaysia ke atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Utusan membayar gantirugi RM60,000-00 kepada Ahli Parlimen Shah Alam itu.
Pada 21 November 2011 Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Tuan Prasad Sandhosham Abraham telah memutuskan bahawa artikel di muka hadapan Utusan Malaysia bertarikh 10/9/2009 bertajuk ““ZULKIFLI BIDAS ‘PAK JANGGUT’ ” adalah memfitnah ke atas YB Khalid Samad.
Antara lain artikel tersebut menulis:
“Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membidas individu yang digelarnya ‘Pak Janggut’ yang sanggup memutar belit ayat-ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seskyen 23, Shah Alam yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk di kawasan itu.
Menurutnya, ‘Pak Janggut’ turut menyalahkan umat Islam di Seksyen 23 kerana tidak bersikap adil dalam membantah pembinaan kuil di kawasan kediaman mereka.
“Yang paling pelik, ‘Pak Janggut’ ini sanggup memutar belit ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil,"katanya.”
Untuk rekod, pada tahun 2010 Khalid Samad telah memfailkan Writ Saman ke atas Utusan melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates atas dakwaan artikel Utusan tersebut telah memfitnah beliau.
Mahkamah Tinggi memutuskan perkataan 'Pak Janggut' di artikel tersebut adalah merujuk kepada Khalid Samad kerana sebelum artikel tersebut diterbitkan Khalid Samad ada menulis surat kepada penduduk seksyen 23 Shah Alam supaya mereka berlaku adil walaupun ke atas orang bukan Islam dalam isu penempatan semula kuil hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam.
Utusan telah memfailkan rayuan ke atas keputusan Hakim tersebut di mana rayuan tersebut telah didengar di Mahkamah Rayuaan. Di Mahkamah Rayuan, Mahkamah telah membenarkan permohonan Notis Usul yang difailkan oleh peguam Khalid Samad bagi membatalkan rayuan Utusan atas alasan Notis Rayuan tersebut cacat kerana pihak Utusan telah gagal mendapatkan kebenaran Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum memfailkan rayuan mereka.
Sekaligus rayuan tersebut adalah bercanggah dengan seksyen 68 (1) (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang memperuntukkan bahawa sebarang rayuan yang kurang dari RM 250,000-00 wajib mendapatkan kebenaran Mahkamah terlebih dahulu.
Mahkamah Rayuan juga memerintahkan Utusan membayar kos sebanyak RM10,000-00 kepada Khalid Samad. Dengan penolakkan rayuan Utusan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini maka usaha Utusan untuk merayu ke atas keputusan yang memihak kepada Khalid Samad berakhir.
Pada pendengaran rayuan hari ini , Khalid Samad diwakili oleh Cik Azhana binti Khairudin dari Tetuan Mohamed Hanipa & Associates manakala Utusan diwakili oleh Encik Mohana Kumar dari Tetuan Shafiee Mohan. Menurut peguam Hanipa Maidin, Khalid akan memfailkan Notis Taksiran Kos di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat bagi menuntut segala kos perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang perlu dibayar oleh Utusan ke atas Khalid.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Adakah 5 hakim Mahkamah Persektuan sudah menyampah dengan rayuan Utusan? (IH/Hrkh)
No comments:
Post a Comment