KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) meminta
seluruh umat Islam melakukan solat hajat dan berdoa agar penduduk di
Pantai Timur Semenanjung Malaysia dijauhi daripada sebarang bahaya dan
bencana.
Ia ekoran ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD)
minggu ini berhubung amaran Ribut Tropika Sonamu dijangka melanda Pantai
Timur pada 8 Januari, jam dua petang. MMD menasihatkan penduduk khususnya nelayan di negeri-negeri Pantai Timur menjauhkan diri dari laut.
"Mohon
solat hajat dan doa semoga Allah lindungi Malaysia khususnya di Pantai
Timur daripada bahaya dan bencana Ribut Tropika Sonamu," kata Ketua
Penerangan DMPP, Aiman Athirah Al Jundi kepada Harakahdaily.
MMD
dalam laman webnya mengeluarkan amaran angin kencang timur laut lebih 60
kmsj dengan ombak lebih daripada 4.5m berlaku di perairan Kelantan,
Terengganu, Samui, Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan. Situasi ini dijangka berterusan sehingga Jumaat. Justeru, Aiman mengingatkan ibu bapa agar mengawasi aktiviti anak-anak mereka.
"Minta
ibu bapa semua prihatin terhadap kedudukan anak-anak, jangan biarkan
berada di luar ketika ribut, hujan dan banjir," katanya.
Ribut
Tropika Sonamu akan mengakibatkan keadaan laut bergelora disertai dengan
angin kencang dan hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir besar. Mereka
yang berada di kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir diingatkan
agar berwaspada terhadap amaran hujan lebat dari masa ke semasa dan
perlu membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir.
Orang ramai juga diminta patuh kepada arahan daripada pihak berkuasa seandainya diminta untuk mengosongkan rumah mereka. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment