Monday, January 07, 2013

Esok Serangan Ribut Tropika P/Timur, Solat Hajat.

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) meminta seluruh umat Islam melakukan solat hajat dan berdoa agar penduduk di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dijauhi daripada sebarang bahaya dan bencana.

Ia ekoran ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD) minggu ini berhubung amaran Ribut Tropika Sonamu dijangka melanda Pantai Timur pada 8 Januari, jam dua petang. MMD menasihatkan penduduk khususnya nelayan di negeri-negeri Pantai Timur menjauhkan diri dari laut.

"Mohon solat hajat dan doa semoga Allah lindungi Malaysia khususnya di Pantai Timur daripada bahaya dan bencana Ribut Tropika Sonamu," kata Ketua Penerangan DMPP, Aiman Athirah Al Jundi kepada Harakahdaily.

MMD dalam laman webnya mengeluarkan amaran angin kencang timur laut lebih 60 kmsj dengan ombak lebih daripada 4.5m berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan. Situasi ini dijangka berterusan sehingga Jumaat. Justeru, Aiman mengingatkan ibu bapa agar mengawasi aktiviti anak-anak mereka.

"Minta ibu bapa semua prihatin terhadap kedudukan anak-anak, jangan biarkan berada di luar ketika ribut, hujan dan banjir," katanya.

Ribut Tropika Sonamu akan mengakibatkan keadaan laut bergelora disertai dengan angin kencang dan hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir besar. Mereka yang berada di kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir diingatkan agar berwaspada terhadap amaran hujan lebat dari masa ke semasa dan perlu membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir.

Orang ramai juga diminta patuh kepada arahan daripada pihak berkuasa seandainya diminta untuk mengosongkan rumah mereka. (Hrkh)

No comments:

Post a Comment