Sunday, January 06, 2013

Kemeriahan Rock The World 12, Apa Faedah?

KHALAYAK tempatan masih memberikan penghargaan buat Rock The World yang membariskan semua pengkarya tempatan dalam satu acara. 


SABTU lalu merupakan hari yang membahagiakan buat peminat muzik tempatan. Sebuah acara yang membariskan penyanyi solo dan grup tanah air bergabung atas nama Rock The World. Masuk ke edisi ke-12, acara muzik ini mengetengahkan nama-nama besar dalam industri seni komersial atau indie.

Berlangsung di Padang Merbok, Kuala Lumpur, acara ini menampilkan 40 artis dan grup bebas seperti The Padangs, Salam, Pop Shuvit, Diandra Arjunaidi, Go Gerila!, OAG, Love Me Butch, Pita Hati, Khottal, Robot Asmara dan Massacre Conspiracy. Rock The World kali ini dimeriahkan dengan tiga buah pentas berlainan iaitu Main Stage, Noisy Stage dan Indie Pop Stage. 

Namun ada rungutan daripada para penonton yang mengharapkan kedudukan pentas lebih strategik agar bunyi tidak berlaga dan menghilangkan konsentrasi dalam menonton grup kegemaran masing-masing. Bermula seawal pukul 10 pagi sehingga 12 tengah malam, festival muzik ini bukan sahaja memberikan persembahan muzik yang tersendiri. Lebih daripada itu, terdapat gerai-gerai yang menjual barangan unik dan jenama tempatan. 

Menariknya acara Rock The World yang diadakan sepanjang tahun ini merupakan apresiasi daripada khalayak yang menghargai produk tempatan. Grup serta penyanyi solo yang memberikan persembahan juga hadir dengan tenaga dan lagu-lagu yang mempamerkan keunikan mereka. Keunikan setiap penyanyi yang hadir dengan muzik dan imej tersendiri mempamerkan bahawa Malaysia mempunyai produk-produk yang baik. Namun mungkin ada antara mereka yang tidak mendapat perhatian pihak-pihak tertentu yang mahu memasarkan wajah dan produk yang bersifat komersial. 

Acara seperti Rock The World wajar diteruskan setiap tahun. Susulan daripada itu, setiap artis yang memberikan persembahan wajar diberikan bayaran yang berpatutan agar tidak terjadi rungutan di belakang hari. (Kosmo)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Wajar diteruskan setiap tahun? Pihak-pihak berwajib termasuk jabatan agama, sila buat kajian apa faedahnya untuk agama dan pembangunan negara? (IH)

No comments:

Post a Comment