Thursday, January 24, 2013

Tebusan Algeria: Antara Mati & Selamat Pulang

Tebusan Algeria selamat pulang
Ravi disambut isterinya, Doreen Micheal Tajie, 45, setelah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Isteri tebusan sedih kematian tragis suami
IPOH - Isteri mendiang Chong Chung Ngen, rakyat Malaysia yang dilaporkan terbunuh dalam krisis tebusan di Algeria, mendakwa terlalu sedih dengan kematian penuh tragis suaminya. Karen Tham Yoke Thing, 54, berkata kematian suaminya hanya dimaklumkan Wisma Putra kepadanya malam kelmarin.

Katanya, mendiang sebagai Inspektor Kawalan Kualiti dengan syarikat JGC Construction Pte. Ltd, baru tiga bulan bekerja di Algeria. “Saya berharap semua memahami keadaan saya selepas mendapat berita kematian suami yang dimaklumkan oleh Wisma Putra lewat malam semalam (kelmarin),” katanya dengan nada sedih ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Ipoh Timur di sini, semalam.

Yoke Thing yang ditemani kakaknya, Janet Tham, 60, berkata, beliau belum pasti bila mayat mendiang akan tiba kerana masih menunggu Wisma Putra menguruskan penerbangan untuk membawa pulang mayat suaminya itu. Katanya, iparnya yang tinggal di ibu negara akan menguruskan penerimaan mayat mendiang yang akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam waktu terdekat.

Difahamkan Yoke Thing bekerja sebagai jururawat dan pasangan itu mempunyai seorang anak yang sedang menuntut di sebuah universiti di Singapura. Sementara itu, Kerajaan Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Chung Ngen dan turut berkongsi kesedihan bersama keluarganya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata beliau diberitahu mangsa adalah anak Perak dan mengucapkan simpati kepada keluarganya. “Saya berharap keluarganya dapat bersabar dengan kejadian yang menimpa mangsa. Ini adalah perkara yang tidak kita rancang dan harap mereka tabah menghadapi keadaan ini,” katanya. Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri.(SH)

Tebusan Algeria selamat pulang
BAYAN LEPAS - Seorang daripada lima rakyat Malaysia yang menjadi tebusan di Algeria selamat tiba di Pulau Pinang petang semalam. Jurutera binaan, K Ravi, 48, yang menjadi tebusan di Kompleks Minyak dan Gas di In Amenas, Algeria 16 Januari lalu, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Beliau yang tinggal di Bukit Jambul di sini, bagaimanapun enggan mengulas mengenai kejadian itu.
“Saya bersyukur kerana dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.
“Kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang baik dan melakukan usaha bersungguh-sungguh untuk membawa saya pulang,” katanya.

Kepulangan Ravi disambut isteri, Doreen Michael Tajie, 45, anak, R Vijayabalan, 19, dan R Sharmilaah Deve, 18. Dalam kejadian 16 Januari lalu, 60 pemberontak lengkap bersenjata menyerang dan menawan OGPC Amenas, kira-kira 70 kilometer dari sempadan Algeria-Libya dan menjadikan 150 pekerja termasuk 41 warga asing sebagai tebusan. Kejadian itu dipercayai bermotifkan balas dendam terhadap tindakan kerajaan Algeria membenarkan ruang udaranya digunakan pesawat tempur Perancis untuk menyerang pemberontak di Mali. (SH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ucapan takziah kepada isteri mendiang Chong Chung Ngen, rakyat Malaysia yang dilaporkan terbunuh dalam krisis tebusan di Algeria dan selamat pulang kepada keluarga yang selamat.

Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails