KL 16 Jan: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli (gambar) berkata, kerajaan tetap berdolak-dalik melaksanakan sistem pendidikan percuma walaupun hak itu dituntut sendiri oleh mahasiswa di universiti.
Katanya, rakaman video ‘listen’ bukti tindak balas pemimpin Umno menafikan pendidikan percuma adalah hak rakyat.
“Bermula dari awal Pakatan Rakyat perkenalkan kaedah pelaksanaan pendidikan percuma, pemimpin Umno BN tidak pernah dapat menjawab angka yang kita beri. Kini kehadiran video dan cara Sharifah Zohra respon terhadap hujah Bawani membuktikannya,” kata Rafizi ketika dihubungi.
“Hujah dan angka-angka Bawani membuatkan rakyat semakin sedar serta percaya bahawa sistem pendidikan percuma memang boleh dilaksanakan,” sambungnya.
Isu ini meletup selepas klip video berdurasi 24 minit yang dirakam dalam sebuah forum suara mahasiswa anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memaparkan panelis, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin menegur dan enggan memberi ruang kepada KS Bawani memberikan pandangan.
Syarifah Zohrah adalah Timbalan Ketua Wanita Kongress Indian Muslim Malaysia (Kimma), komponen baru dalam BN. Terpalit dengan isu ini, Presiden Kimma, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader semalam menafikan Syarifah bukan lagi ahli kongres itu, dan berkata, beliau sukar dikawal.
Dalam forum tersebut, Bawani memberikan pandangan mengenai Bersih dan penerajunya, Datuk S Ambiga dan Datuk A Samad Said. Beliau turut menegaskan kepada penganjur bahawa negara mampu menawarkan pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti. Pelajar tahun dua jurusan undang-undang itu mempersoal mengapa Malaysia tidak boleh berbuat demikian, diikuti tepukan penonton.
Ketika Bawani sedang bercakap, Sharifah turun dari pentas dan berdiri di depannya. Bawani tidak mempedulikan tindakan Sharifah itu dan meneruskan hujahnya. Sharifah kemudian berkata ‘listen’ kira-kira 10 kali sebelum berkeras merampas mikrofon.
“Beliau sepatutnya menjawab hujah Bawani dengan baik dan berfakta. Pemimpin BN dari yang tertinggi sampailah paling bawah gagal menjawab isu tersebut,” kata Rafizi mengulas video berkenaan.
Jelas Rafizi, Pakatan Rakyat menegaskan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seterusnya melaksanakan sistem pendidikan percuma adalah antara 10 agenda utama dalam mereformasikan hala tuju pendidikan negara.
“Pakatan melihat pemansuhan PTPTN dan pendidikan percuma sebagai reformasi kepada aspek pendidikan negara. Apabila ada perubahan dalam pendidikan, sekaligus ia akan menyumbang kepada penjanaan ekonomi di pelbagai bidang lain,” katanya. (KD)
Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang diwakili Exconya, Mohd Hakim Mohd Nor telah bertemu dengan mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani yang menjadi buah mulut masyarakat ketika ini setelah berani tampil ke depan menyatakan pandangannya pada satu forum yang dianjurkan di universiti tersebut. Lihat gambar di bawah.
Bawani menceritakan apa yang berlaku sewaktu beliau memberikan pandangan pada forum tersebut (IH)
No comments:
Post a Comment