▼
Sunday, February 24, 2013
Amanat MB K'tan: Umno Silapnya Di Sini...
Tuan Guru Nik Aziz bercakap kepada wartawan hari ini
PENGKALAN CHEPA: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa kerajaan Umno dan BN bertindak menjadikan rakyat seumpama haiwan apabila terpaksa menaburkan duit untuk hadir pada majlis mereka.
Menurutnya, seharusnya sebagai pemimpin negara mereka perlu diberikan ilmu dan bukannya wang ringgit atau kebendaan. Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis amanat Menteri Besar Kelantan bersama warga Yik, di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini tengahari ini.
“Media nak ubah kenyataan sebenar saya, ubahlah tetapi ingat mereka akan berhadapan dengan dosa, tetapi kerana tidak memahami maksud sebenar, kenapa menjadi wartawan.
“Untuk menjadi seorang wartawan, bukan putar belit cerita, sebaliknya kena cerdik, faham apa saja yang dimaksudkan penyampai berhubung sesuatu perkara,”ujarnya.
Menurutnya, Umno dan BN guna duit untuk tabur pada rakyat dalam apa juga sekalipun termasuk BR1M, seumpama memanggil manusia seperti haiwan.
“Hey itik marilah aku nak berceramah agama, mana itik nak mari (datang), jadi kena bagi hampas kelapa, baru dia datang. Kena bagi padi, nak suruh ayam, itik datang.
“Hey lembu aku nak ceramah, lembu tak akan datang sekiranya tidak diberikan rumput padanya,”ujarnya.
Jadi, sekiranya kita memanggil manusia dengan memberikan kebendaan (wang) juga, ertinya kita meletakkan manusia setaraf haiwan. Menurutnya, perjuangan Umno silapnya di sini kerana tidak memberikan ilmu agama pada rakyat, sebaliknya kebendaan semata-mata.
“Nak bagi macamana sebab perjuangannya tolak Islam, dalam kebangsaan mana ada Islam,”ujarnya.
Tuan Guru bagaimanapun berkeyakinan rakyat Kelantan dan seluruh Malaysia akan menolak perjuangan yang ‘menjual’ kebendaan. Beliau turut mengambil contoh bagaimana negara maju barat khususnya Amerika yang membenarkan berkahwin sesama sejenis yang diharamkan oleh Islam. Tegasnya, tindakan itu bukan sahaja akan memupuskan pertambahan manusia, sebaliknya amalan lebih teruk dari haiwan.
“Haiwan contohnya lembu (jantan) akan cari pasangannya lembu betina, dia tak cari lembu jantan, bodoh lembupun tahu keperluan sebenar,”ujarnya.
Apa yang berlaku itu, tegasnya kerana menolak landasan Islam sebaliknya memilih kehidupan mengikut nafsu sendiri.
Berhubung calon, beliau mengakui telah banyak pencalonan yang selesai walaupun belum siap sepenuhnya. Tuan Guru yang juga Menteri Besar juga enggan mengulas bila ditanya berhubung muka-muka baru yang bakal diketengahkan.
“Tunggu dihari pengumuman atau di hari penamaan calon,”ujarnya sambil ketawa kecil. (IH/Hrkh)
No comments:
Post a Comment