Friday, February 22, 2013

Jatuh Dlm Sungai,MB K'tan Lawat Keluarga Mangsa.

 

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Adul Aziz Nik Mat, semalam meluangkan masa mengunjungi keluarga adik Muhammad Arif Mohd Nordin yang dipercayai terjatuh ke sungai Kelantan beberapa hari lalu.

“Baru semalam saya pulang dan hari ini saya telah dimaklumkan oleh setiausaha saya berhubung kejadian ini.
“Saya juga mengucapkan takziah pada ibubapa mangsa dan berdoa semuga pencarian beberapa hari ini Allah gantikan dengan yang baik,”ujarnya.

Adik Mohd Arif yang juga bekas pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu dikatakan terjatuh ke dalam sungai itu ketika melalui pelantar besi pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra dengan menaiki motosikal.  Dia melalui kawasan itu bersama dua lagi rakan yang berjalan kaki melintasi pelantar besi itu menuju ke arah Pasir Pekan, Tumpat.

Dalam kunjungan itu semalam juga, Tuan Guru mengucapkan terima kasih kepada kesungguhan pasukan penyelamat termasuk anggota Bomba dan Penyelamat, Polis berusaha mencari mangsa. Berhubung kejadian itu, beliau meminta ibubapa menasihati anak-anak supaya tidak menunggang motosikal sekiranya mereka tidak mempunyai lesen memandu.

“Jika tidak ada lesen mereka ketakutan dan akan bertindak sendirian walaupun akan meragut nyawa mereka,”ujarnya.

Tuan Guru turut menyampaikan sumbangan kepada bapa mangsa, Mohd Nordin Mohd Long, 50. Sebelum itu Tuan Guru mendengar taklimat yang disampaikan pasukan keselamatan. Hadir sama Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.

Ibu mangsa, Fatimah ketika ditemui melahirkan rasa terharu di atas kunjungan Tuan Guru yang tidak diduga itu. Beliau mengucapkan terima kasih di atas kesudian Tuan Guru yang turut berkongsi kedukaannya bersama anggota keluarga. Semalam merupakan hari keenam usaha mencari dilakukan di tepi Sungai Kelantan dan sekitarnya. (Hrkh)

No comments:

Post a Comment