Pelan RTB Batu 18 yang menunjukkan sudah ada nombor lot.
PEKAN: Bayangkan, selepas 50 tahun meneroka dan mengusahakan tanah yang dijanjikan, sehingga kini 60 peneroka asal yang lebih separuh daripadanya sudah meninggal dunia itu masih gagal mendapatkan status tanah milik mereka.
Mereka ialah sanak saudara Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dari Kampung Pahang Tua, Lamir, dan Langgar yang digalakkan oleh Perdana Menteri Malaysia kedua itu mengusahakan sebidang tanah di Batu 18 Jalan Kuantan-Pekan.
Seorang peneroka asal tanah berkenaan Isa Mohd Nor, 76, yang ditemui di Pahang Tua kelmarin merupakan antara 20 orang yang terawal mengusaha dan meneroka tanah Rancangan Tanah Berkawal (RTB) Batu 18 iaitu sekitar tahun 1961.
Katanya, Allahyarham Tun Razak dan Menteri Besar Pahang ke-9 Allahyarham Datuk Seri Mohamad Jusoh yang juga berasal dari kampungnya yang suruh peneroka memohon tanah yang diusahakan itu.
“Dengan galakan tersebutlah yang menguatkan kami berulang dengan berbasikal sejauh lebih kurang 30 kilometer selama sejam lebih dengan membawa benih kelapa untuk ditanam di sana.
“Malangnya setelah memohon beberapa kali tapi tak dapat geran hak milik sehingga ke hari ini. Sekarang tinggal boleh bilang dengan jari sahaja lagi yang hidup, yang lain dah meninggal dunia.
“Walaupun sudah tiada kudrat tetapi dalam hati harap sokmo nak dapatkan tanah yang pernah kita usahakan dengan susah payah jerih penat itu, selagi ada sisa-sisa hayat nak juga tengok tanah itu jadi hak milik,” keluhnya sayu ketika ditemui kelmarin.
Isa yang kini sudah agak uzur, melahirkan rasa terkilan dan kecewa kerana orang luar boleh dapat tanah sedangkan beliau bersama orang-orang kampung sendiri telah menghamburkan titik peluh tetapi masih gagal mendapat geran hak milik tanah yang dijanjikan.
RTB Batu 18 seluas 64 hektar mula diteroka pada 1961 sebagai kawasan pertanian tetapi dipendamkan oleh pihak berkuasa daripada membuat keputusan mengenai status tanah itu.
Menurut maklumat, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohamad Jusoh ketika itu bersetuju memberikan 0.8 hektar kepada 60 penama awal dan peringkat kedua yang memohon secara berkelompok selepas tanaman mereka berjaya mengeluarkan hasil sejak 1970.
Bagaimanapun, RTB berkenaan masih tidak memiliki geran hak milik tetap hingga ke hari ini.
Keadaan itu menyebabkan peneroka-peneroka tanah berkenaan bimbang kerana kerajaan negeri boleh mengambil alih tanah berkenaan pada bila-bila masa tanpa sebarang pampasan kerana tiada sebarang dokumen mengesahkan tanah itu mempunyi pemilik sah.
Akhirnya tanah tersebut ditinggalkan sehingga dipenuhi belukar dan hutan.
Seorang lagi yang pernah mengusahakan tanah tersebut peringkat awal, Ramlah Ibrahim, 68, berkata pada tahun 1961 beliau yang baru berkahwin telah mengikut arwah suaminya Razali Ismail mengusahakan tanah Batu 18.
Beliau yang tinggal di rumah PPRT Pahang Tua berkata, beliau masih ingat ketika itu berulang-alik bersama suaminya (yang telah meninggal pada tahun 2001) berbasikal pagi-pagi hari membawa benih kelapa, membawa bekal makanan dan pulang pada sebelah petang.
“Bayangkan pada masa itu pagar tidak ada, biasanya akan dimakan oleh binatang kerana musuh kuat sangat. Itu belum lagi cerita bagaimana terpaksa menghadapi ular, lipan, jengking dan pacat. Tetapi mengenangkan arwah Tun (Razak) suruh jayakan, ulang jugalah.
“Sebab itulah kami nak sangat jadi tanah Batu 18 jadi hak milik selagi masih hidup ini kerana masih tiada tanah sendiri, yang duduk ini tanah arwah pak mertua,” tegasnya.
Tambahnya lagi, beliau pernah berjanji dengan 8 orang anak-anak jika tanah itu lulus esok (nanti) masing-masing berhasrat untuk membina rumah di sana.
Muhamad Ibrahim, 47, yang terlibat menuntut hak ayahnya (Ibrahim Kasim) berkata wakil rakyat pernah berjanji dan beri jaminan untuk selesaikan isu geran tanah sebelum pilihan raya umum (PRU) 13.
“Saya hadir dalam satu mesyuarat di kampung Ubai 13 Januari tahun lalu dihadiri Adun Inderapura yang juga exco kerajaan negeri. Masa mesyuarat macam geran dah nak lulus hari esok dengan serah borang 5 A.
“Sekarang dah setahun... tidak ada pun, jadi nampak macam gimik saja nak harap-harapkan 60 peserta. Sebenarnya ada ayah dan anak yang memohon dulu, sekarang dua-dua dah meninggal dunia. Sekarang sebab banyak kali mohon, akhirnya bila tak dapat geran penduduk terpaksa tinggalkan kerana kecewa,” ujarnya.
Justeru Muhamad meminta pihak berkuasa menyelesaikannya segera. Katanya, cuba bayangkan jika isu ini berlaku di Kedah, Kelantan atau Selangor, sudah tentu siang malam akan dimainkan dalam televisyen dan akhbar.
Mohd Nazri Samad, 55, yang menuntut hak ayahnya (Samad Kasim) berkata sudah berapa kali wakil rakyat bertukar dan mereka berjanji terutama menjelang PRU tapi masalah penduduk tidak juga selesai.
Katanya, sebenarnya RTB Batu 18 itu sudah ada pancang batu, dah ada nombor lot, maknanya sudah sedia untuk diluluskan, tetapi rakyat kena tunggu sehingga setengah abad bahkan sudah ada berita mengatakan lot-lot tersebut ada yang dilapis oleh orang-orang politik atas nama peneroka awal.
“Kami dah hantar memorandum kepada orang nombor satu, Najib Tun Razak dengan serah tangan, dia dah tahu tapi tiada tindakan juga. Jadi seolah-olah orang kampung dah tiada tempat untuk mengadu.
“Yang mengusahakan itu semuanya puak sedara mara Tun Razak juga bukannya orang lain,” tegasnya.
Nazri yang pernah merasai kesusahan mengikut ayahnya berulang ke tanah itu berbasikal berkata, kini ayahnya berumur 88 tahun dan hampir nyanyuk, tetapi geran tanah masih belum dapat.
Fadzir Bidin, 45, yang menuntuk bagi pihak datuknya, percaya kemungkinan ada campur tangan politik menyebabkan geran tidak diperolehi peneroka awal.
Katanya, ada kemungkinan kawasan kebun itu duduk dalam Dun lain sedangkan pemohon bermastautin dan mengundi dalam Dun lain jadi seolah-olah tiada ‘desakan politik’ untuk menyegerakannya.
“Kami kesal bagaimana arwah tokki saya mengusahakan tanah itu tahun lalu tak boleh selesai, sedangkan orang luar boleh dijemput ke Pekan dan diberi penempatan, anak tempatan tidak ada apa yang dapat,” keluhnya kesal. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment