KOTA BHARU: Bekas isteri Wan Muhammad Azri Wan Deris (gambar)
atau lebih dikenali dengan blogger Papagomo turut dinamakan sebagai
saksi kes saman Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa terhadapnya.
Selain itu seorang lagi ahli keluarga terdekat Papogomo, Rohman
Deraman yang berasal dari Pasir Puteh turut dinamakan sebagai saksi. Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, saksi-saksi lain termasuk
blogger, wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di
mana kesemuanya tujuh orang.
Manakala peguam Jasbeer Singh yang mewakili defendan memberitahu
pihaknya hanya bercadang mengemukakan seorang saksi. Beliau turut
dibantu peguam Parvinder Kaur. Kes tersebut dikendalikan di hadapan Hakim Datuk Yazid Mustafa. Husam yang juga saksi pertama kes tersebut memberitahu mahkamah blogger terbabit tidak pernah mengikuti rombongannya ke China.
“Namun dia memfitnah saya sebagai seorang pemimpin politik sebuah
parti Islam dengan menyiarkan gambar kononnya saya berpegangan tangan
dengan seorang wanita Cina.
“Dengan penyiaran gambar itu dalam blognya, dan kemudian ada yang
dicetak dengan kertas bermutu tinggi diedar ke merata tempat,
menyebabkan reputasi saya jatuh.
“Saya tidak berupaya untuk menyekat penyebaran itu melainkan hanya melalui perintah mahkamah sahaja,” katanya.
Sebelum itu hakim menegur defendan kerana tidak hadir pada perbicaraan tersebut. Pada 6 Disember 2011 defendan melalui blog http://www.papagomo.com
menyiarkan berita bertajuk 'gambar ekslusif bakal MB Kelantan pimpin
tangan China Doll’.
Defendan yang kini tinggal di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur
antara lain turut menulis; “Tapi Kawe yakin rakyat Malaysia bijok dan
crdik bilo keleh gambar ni. Ambo yakin sedikit sebanyak rakyat Kelantan
akan buko mato kenal siapo hok dalam gambar ni.”
Dalam writ samannya Husam menjelaskan gambar itu sebenarnya
menunjukkan beliau ketika itu bersama rombongan kerajaan Kelantan ke
China sedang berjalan keluar dari sebuah bangunan dengan diikuti oleh
jurubahasanya, seorang perempuan warganegara China.
Plaintif sedang memegang saputangan di tangan dan perempuan itu berjalan di belakang. Sebelum itu peguam defendan memohon menangguh kes tersebut bagi
mendapatkan perintah daripada anak guamnya, namun ditolak mahkamah.
Peguam defendan juga menyifatkan pernyataan Husam dengan menyebut
enam lagi saksi bagi mengesahkan identiti Papagomo, disifatkan sebagai
hanya sebagai hearsay. Namun hakim memberitahu pihak plaintif akan mengemukakan saksi
tersebut pada perbicaraan itu dan mahkamah dapat menilai hujah mereka
nanti.
Sementara itu pada sambung bicara kes Husam menyaman seorang lagi
bloger mesra Umno, Mohamad Iskandar atau lebih dikenali sebagai
Parpukari, memindahkan kes tersebut ke Pulau Pinang ditolak mahkamah
dengan kos. Sebelum ini mahkamah juga menolak dengan kos permohonan defendan meminda peryataan pembelaan. Defendan disaman Husam ekoran artikel disiarkan dalam blog
“parpukari.blogspot.com”. Parpukari production mempersembahkan kisah
cinta terlarang dua benua pada 19 Febuari 2012.
Sementara itu, memandangkan ada penemuan bukti baru kes
saman Datuk Husam Musa terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris menyebabkan
hakim menasihatkan kes itu difail semula. Oleh itu bagi membolehkan kes tersebut difail semula, kes yang berjalan hari ini ditarik balik.
Berikutan itu Husam yang juga Naib Presiden PAS melalui peguamnya,
Hisham Fauzi menyatakan persetujuan di atas cadangan hakim pada
perbicaraan itu kes petang tadi. Beliau pada keterangan sebagai saksi pertama kes itu memberitahu
mahkamah beberapa saksi baru ditampilkan termasuk bekas isteri Wan Azri
dan dua blogger pro Umno yang disapina.
Selain itu katanya, blogger-blogger lain juga telah menyatakan persetujuan menjadi saksi kes berkenaan. Menurutnya juga gambar Wan Azri yang dianggap sebagai Papagomo banyak
tersiar dalam laman-laman web dan dalam Utusan Malaysia beberapa hari
lalu. Ekoran itu peguam Jasbeer Singh yang mewakili Wan Azri turut
meluahkan rasa kesal kerana akhbar terbabit mengaitkan penama terbabit
sebagai Papagomo.
“Gambar-gambar yang disiarkan dalam internet dan terbaru dalam blog
Erapasca memperlihatkan gambar Wan Azri bersama dengan Datuk Seri Najib
Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien,” kata
Husam.
Bagaimanapun ketika soal balas peguam defendan membantah kerana
beberapa saksi baru dikemukakan termasuk bekas isteri Wan Azri, yang
disenarai sebagai saksi kedua. Berikutan itu Hisham berkata, perbincangan di antara peguam plaintif
dan defendan diadakan di dalam kamar berkaitan isu saksi baru yang
disenaraikan.
Katanya, pada perbincangan itu hakim menasihatkan kes tersebut
ditarik balik bagi membolehkan ia difail semula dengan penambahan
saksi-saksi baru. Husam ketika ditemui kemudian berkata, beberapa bukti baru ditemui
selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan saman
terhadap Wan Azri baru-baru ini.
“Lagi pun kita juga boleh menampilkan saksi iaitu Panglima Tentera
Laut Diraja Malaysia memandangkan mahkamah menolak untuk disapinakan
Menteri Pertahanan berkaitan isu blogger terbabit dibenarkan memasuki
Scorpene.
“Malah bekas isteri Wan Azri sudah menyatakan persetujuan untuk
menjadi saksi pada Disember lalu. Sedangkan pada senarai awal namanya
tidak disebut sebagai saksi dalam pengurusan kes sebelum ini,” katanya.
Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, fail baru kes saman tersebut akan dibuat dalam masa terdekat ini.(IH)
No comments:
Post a Comment