Monday, March 18, 2013

Gabungan Arts Hijrah Jayakan Teater Sejarah..

 
HALAMAN HIBURAN

KOTA BHARU: Buat julung kalinya artis-artis hijrah bergabung menjayakan teater berkisar sejarah menantu sulung baginda Rasulullah SAW bertajuk ‘Pengisytiharan Abul ‘As', malam kelmarin.

Teater tersebut dipersembahkan sempena majlis Malam Penghargaan Karyawan Kelantan 2013 dan Pementasan Teater disebuah hotel. Teater yang diilhamkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, buat julungkalinya dipentaskan di hadapan pimpinan, karyawan dan dramatis pada satu majlis sebelum ianya dipentaskan kepada umum.


Zek Zakaria sebagai watak utama dalam teater tersebut yang memegang peranan Abul ‘As, Abby Abady watak Zainab isteri Abul ‘As. Pelakon terkenal Abu Bakar Juah berjaya menghidupkan watak Abu Lahab sebagai watak hitam dalam teater itu bersama Aishah sebagai Ummu Jamil isterinya.

Kedua-duanya berjaya menghidupkan teater tersebut, bersesuaian dengan peranan yang dipegang mereka. Abul ‘As anak saudara Abu Lahab pada mulanya tidak beriman pada Allah dan Rasulullah walaupun dalam kesempitan dengan barangan niaganya dirompak.

Menurut Tuan Guru, Abul ‘As memeluk Islam bukan ketika terdesak, bukan ketika ditawan oleh tentera Islam sebaliknya menerima Islam secara ‘gentelman’, yakin dengan keimanannya sendiri terhadap Islam yang dibawa Nabi Muhammad. Setelah semua barangan dagangan yang dirompak dikembalikan padanya, Abul ‘As membawa balik semua barangan tersebut ke Makkah dan mengembalikannya kepada para pemodal yang berkongsi dengannya sebelum itu.

Selepas itu beliau mengisytiharkan dirinya beriman dengan Allah dan mengakui Muhammad itu sebagai pesuruh Allah. Tuan Guru bagaimanapun tidak menolak teater itu ada sedikit kelemahannya, di mana apabila Abul ‘As menyeru adakah lagi barangan yang dirompak belum diserahkan semula berulangkali pada pemiliknya, namun tiada yang menyahutnya.

“Sepatutnya kena ada suara latar yang menyahut dengan ramai, "sudah tidak ada lagi",”ujarnya.

Menurutnya, kisah-kisah sedemikian perlu dipersembahkan pada umum agar mereka mengenali golongan itu, jika tidak nama-nama itu tidak akan dikenali. Teater tersebut diarah Dinsman, pementasan Sani Sudin dan pencerita Bob Lokman.

Turut berucap pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Dr Mohamed Fadzli Hassan. Hadir sama pada majlis itu, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan lain-lain jemputan.

Sementara itu, Norhisham Mustafa dianugerahkan Tokoh Persuratan Kelantan, allahyarham Ustaz Buniyamin Yaacob sebagai Tokoh Pemidato. Sementara itu, seramai 27 orang lagi para karyawan dan penulis Kelantan menerima penghargaan dari kerajaan negeri Kelantan. Antaranya, Mohd Sayuti Omar, Rosidi Semail (Rossem), Wan Aisyah Wan Nawang, Wadi Leta SA, Rosli K Matari, Abham TR, Abdul Hadi Yusof, Meriam Awang Lah, Mohd Ubaidillah Alias dan lain-lain lagi.(Hrkh)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails