Wednesday, March 20, 2013

Karnival Bersama Artis, Motosikal Bersama Ulama.


Tuan Ibrahim mengetuai konvoi bermotosikal bersama anak muda di Jengka

HALAMAN HIBURAN
JENGKA: Tanggal 17 Mac yang lalu, Karnival Anak Muda Bersama Artis anjuran Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Kuala Krau dengan kerjasama Alternatif Riding Club (ARC) Pahang, telah berlangsung dengan jayanya.

Konvoi disertai oleh kira-kira 250 buah motosikal dan 30 buah kereta turut disertai oleh Datuk Tuan Ibrahim Bin Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Shahril Azman Al Haffiz, Ketua Pemuda PAS Pahang dan Tuan Haji Nazri Bin Hussin, Timbalan  Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau serta kepimpinannya.

Karnival bermula dengan Konvoi Anak Muda untuk Perubahan dari Pekan Kerdau melalui Pekan Jenderak. Kemudian, konvoi berhenti  solat Zohor di Masjid Lama Bandar Jengka sebelum memulakan aktiviti sukan bermotor di Dataran Nadi Kota, Bandar Jengka. Sambutan dan penyertaan daripada masyarakat setempat serta penduduk di sekitar Kawasan Kuala Krau untuk karnival dan konvoi ini adalah di luar jangkaan.

Di sebelah petang, aktiviti diteruskan dengan Sembang Santai Anak Muda bersama Artis yang menampilkan Farah Asyikin Zulkifli (One in the Million) dan Nurul Suhadah Shuib (Ameerah Malaysia). Kehadiran orang ramai yang terdiri daripada beliawanis dan kaum wanita adalah melebihi 300 orang. Keadaan hujan panas sedikitpun tidak mengganggu perjalanan program tersebut.

Kemudiannya, Munajat Anak Muda diadakan di Masjid Lama Jengka sebelum Pogram Bicara Selebriti berlansung pada malam harinya. Program yang membawa penampilan Iwan yang bergandingan Farah Asyikin di samping Tuan Ibrahim bersama panelis lain telah menyebabkan orang ramai membanjiri Dataran Nadi Kota Jengka. Iwan bersama Farah turut mempersembahkan beberapa buah lagu secara live kepada para hadirin.

Dalam ucapannya Tuan Ibrahim mengingatkan rakyat bahawa perubahan bermula dari diri sendiri.
"Jangan harap perkara akan berubah sekiranya sendiri tidak berubah dulu. Nak berubah ke arah yang lebih baik, sendiri harus berubahlah dulu," katanya.

Kehadiran anak muda menggalakkan ini menandakan satu arus perubahan bakal berlalu di pilihanraya umum ke 13 akan datang.
Sumber berita: Helmy Harun

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails