Tuesday, March 12, 2013

K'tan: Got Talent 2013 Artis Najwa , Noryn & Yatt Hamzah..

HALAMAN HIBURAN

Najwa

KOTA BHARU: Tiga artis hijrah Najwa Latif, Noryn Aziz dan Yatt Hamzah akan bergabung tenaga memeriahkan Wanita Kelantan Got Talent 2013 pada 16 Mac ini.

Mereka akan membuat penampilan sempena pertandingan akhir mencari bakat wanita dalam pelbagai persembahan yang akan diadakan di Kelantan Trade Centre (KTC).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, hanya wanita sahaja dijemput hadir pada program yang bermula jam 9 pagi.

“Ia hanya untuk wanita sahaja. Bukan hanya peserta adalah wanita tetapi penonton, petugas, keselamatan dan semuanya terdiri kalangan wanita,” katanya di sini.

Menurutnya, program kali kedua diadakan bagi memberi peluang kepada mereka yang berbakat sama ada dalam seni tarian, nyanyian, nasyid, berlakon dan berbagai lagi menguji kebolehan masing-masing.

Kata beliau sambutan tahun ini begitu membanggakan di mana seramai 73 peserta menghantar permohonan menyertai pertandingan berbanding hanya 35 orang tahun lepas.

Tahun lepas seorang beliawanis dari Kota Bharu, Nik Farah Aina Nik Hariman muncul johan Wanita Kelantan Got Talent 2012.

Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Zainiah Halim berkata, hanya 10 peserta akan membuat persembahan nyanyian dipilih ke peringkat akhir di sebelah petang.

Manakala tiga kumpulan bagi persembahan tarian dan dua lagi lain-lain kategori termasuk sketsa. Noryn Aziz dilantik sebagai ketua juri dan dibantu pegawai dari Jabatan Kebudayaan Negeri Kelantan.(Hrkh)

No comments:

Post a Comment