Thursday, March 28, 2013

Nik Aziz Masih Relevan, Berkaliber, & Berkarisma.

Nik Aziz
KOTA BHARU - Keputusan Pas Pusat membuktikan kepimpinan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih relevan untuk menerajui parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Sehubungan itu, Pas Kelantan akan terus memberikan sokongan kepada Nik Aziz disebabkan kepimpinannya yang berkaliber dan berkarisma selaras dengan kehendak rakyat negara ini.

Exconya, Wan Ubaidah Omar berkata, walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan kepada Menteri Besar itu, namun semangat ditunjukkan penyokong lebih menguatkan lagi keazaman ulama tertinggi Pas tersebut.

 “Secara peribadi memang kita nak Tok Guru (gelaran bagi Nik Abdul Aziz) berehat, tetapi oleh sebab rakyat seluruh Malaysia masih mahukan kepimpinan, karisma dan barokah beliau, kita tidak boleh menghalang, tambahan pula keputusan dibuat kepimpinan tertinggi parti,” katanya kepada media di sini.

Menurutnya, spekulasi mendakwa Nik Aziz tidak mampu menjalankan tanggungjawab atas faktor usia dan kesihatan bukan satu alasan untuk menghalang pemimpin berkenaan berkhidmat kepada parti dan negeri.

“Insya-Allah sebab kalau bekas pengasas Pertubuhan Palestin Hamas, Allahyarham Sheikh Ahmad Yassin mampu mentadbir daripada kerusi roda, jadi tidak mustahil untuk Tok Guru melakukannya, tambahan beliau (Tok Guru) tak berkerusi roda lagi, dan kalau melibatkan urusan penting, kita ada timbalan dan pegawai- pegawai yang seharusnya boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab itu,” katanya.

Beliau yang juga Adun Kijang berkata, jika tidak berkeupayaan, mungkin pimpinan tertinggi itu boleh bertindak sebagai pemikir, pengarah dan pembuat dasar-dasar yang boleh dilaksanakan pegawai-pegawai.

No comments:

Post a Comment