Tuesday, March 26, 2013

Rombongan Artis 'Usrah Fitrah' Sertai Misi Ke Gaza

Sebahagian daripada artis dan rombongan yang menyertai misi ke Gaza.

 
HALAMAN HIBURAN
 SEPANG: Kumpulan artis yang menggelar diri mereka kumpulan Usrah Fitrah menyifatkan peluang menyertai misi kedua ke kawasan bergolak, Semenanjung Gaza, Palestin adalah rezeki daripada Allah.

Pengasas dan Ketua Penasihat Usrah Fitrah, Rusydi Ramli Al-Jauhari (Gambar kanan) berkata, perancangan awal kumpulan itu hanya mahu mengadakan lawatan sejarah ke Kaherah, Mesir sebagai salah satu aktiviti kumpulan itu namun pihak Aman Palestin telah menawarkan misi ke Gaza.

"Kami secara dasarnya tidak merancang untuk ke Gaza kerana kekurangan kos tetapi pelawaan Aman Palestin yang ingin menaja pemergian kami ke sana adalah satu rahmat yang cukup besar.

"Selain mengadakan lawatan untuk mendalami sejarah Islam di Mesir, kami turut berpeluang untuk menjalankan misi ke Gaza bagi melihat keadaan terbaharu di sana dan menyampaikan sumbangan," jelasnya ketika ditemui di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Isnin.

Seramai 28 ahli rombongan menyertai misi itu termasuk beberapa orang artis seperti Diana Amir, Yatt Hamzah, Siti Nordiana, Zoey Rahman, Heliza, Sufian (Saujana) dan Eenaz Mokhtar. Kumpulan itu akan berada di Gaza selama dua hari pada lawatan yang bermula pada 25 Mac hingga 2 April.

Dalam pada itu, Rusydi berkata, selain menyampaikan wang sumbangan Fellena Kosmetik bernilai RM20,000 kepada masyarakat Gaza, pihaknya dan Aman Palestin turut menghantar enam orang doktor pakar dari Malaysia bagi mengawal selia doktor-doktor muda di sana untuk memantapkan kemahiran mereka.

"Selain membuat sumbangan kepada masyarakat di sana, Fellena Kosmetik juga berbesar hati untuk menaja lawatan Usrah Fitrah ke sana bagi tujuan tersebut.
"Kami juga akan melihat keadaan terbaharu di sana selain menyenaraikan perkara yang boleh kami bantu untuk lawatan seterusnya," katanya.

Sementara itu, Rusydi berkata, lawatan ke Mesir lebih kepada pengenalan sejarah awal Islam dengan melawat tempat-tempat yang mempunyai pelbagai kisah menarik. Melalui cara katanya, kesemua peserta akan dapat memahami dengan lebih mendalam tentang sejarah Islam dan tidak hanya tertumpu kepada ceramah di dalam kelas.

"Banyak tempat-tempat yang akan kami lawati yang mempunyai nilai sejarah tinggi supaya pengetahuan tentang Islam lebih luas," ujarnya. (mStar)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails