Tuesday, April 23, 2013

K'tan: Lepas Rompak Minyak, Rompak Gas Pula.



Pendedahan: Pengeluaran Terbaru di Medan Gas Kelantan.
Oleh: Truckster

"Disebalik kebangkitan besar rakyat Kelantan menuntut hak Royalti dan Pendaratan Petroleum, nun di tengah laut Perairan Negeri mereka kerja-kerja awal Eksplorasi dan Pengeluaran baru untuk mengeluarkan gas di Medan PM301, PM302 dan PM325 sedang giat dijalankan.

Lebih menyedihkan Projek Pembangunan Bersepadu bernilai RM16 Bilion untuk jangkamasa 5 tahun bermula 2013 di Medan Gas yang hanya berjarak 150km dari Pantai Kelantan akan didaratkan di Kerteh Terengganu.

Pada Jun 2012 PETRONAS telah memeterai perjanjian Kontrak Pembangunan Bersama melalui anak syarikatnya PETRONAS Carigali Sdn Bhd & Hess Exploration untuk Projek Pembangunan Gas Bersepadu di Lembangan North Malay di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Tender Pembangunan dianugerahkan melalui Kontrak Pengeluaran Bersama (Production Sharing Contract – PSC) untuk Blok PM302 yang 100% berada di perairan Kelantan. Perjanjian PSC adalah permbahagian 50:50 antara PETRONAS Carigali Sdn Bhd dan Hess Exploration & Production BV. Mengikut Laporan AM Securities (Sebuah entiti AMBank Bhd) dianggarkan US$5.2 bilion (Rm16 bilion) akan dilaburkan PETRONAS di Medan North Malay Basin melalui beberapa fasa pembangunan dalam jangkamasa 5 tahun.
MEDAN

Maklumat kami mendedahkan Hess Exploration telah memulakan tender pertama daripada tiga kontrak bagi kerja-kerja fasa pembangunan di sembilan medan gas & kondesat di Lembangan North Malay. Enam medan adalah 100% di perairan Kelantan(berjarak 140km dari pantai) iaitu di Blok PM 301 – Gajah, Melati, Kamelia, Zetung, Anggerik dan Kesumba. Dua medan Bunga Dahlia & Teratai di blok PM 302 yang juga milik Kelantan. Manakala medan Bergading di Blok PM 325, adalah di Blok pertindihan Kelantan – Terengganu.

Antara pemain utama yang mengambil bahagian adalah Syarikat SapuraKechana Petroleum, Bumi Armada, MMC Oil & Gas, MMHE dan Alam Maritim.

PEMBANGUNAN MEDAN GAS BERSEPADU.

Projek akan menyaksikan pembangunan dan mengkormesial sembilan Medan Gas bersama-sama pembangunan Pusat Pengumpulan Gas, Pemprosesan dan Hub Pemindahan. Ianya merangkumi pembinaan 300km paip gas tengah laut yang akan didaratkan ke Kerteh Terengganu. Paip gas menggunakan teknologi sistem pengasingan gas asid (acid gas removal) dengan teknologi membrane yang pertama kali digunakan oleh PETRONAS.

Maklumat kami juga mendedahkan projek akan dijalankan melalui dua fasa, pertama melalui Sistem Pengeluaran Awal (Early Production System (EPS)) dan diikuti Pembangunan di Keseluruhan Medan Gas (Full Field Development (FFD)). Dijangka pengeluaran awal fasa EPS adalah pada suku pertama 2013 sebanyak 100 mmscfd (million metric standard cubic feet per day).

*100mmscfd adalah bersamaan 100 juta kaki padu gas sehari.

Manakala bagi fasa FFD pula gas akan dikeluarkan pada kadar sekitar 300 juta kaki padu gas sehari menjelang 2015. Keseluruhan kawasan ini anggaran simpanan gas adalah sebanyak 1.7 trilion kaki padu.

PERANAN SAPURA KENCHANA DI PM301.

Sebelum ini, SapuraKenchana telah dianugerahkan projek awal bernilai Rm836 juta untuk memulakan kerja-kerja awal pengeluaran gas di Medan Bunga Kamelia.

Maklumat kami mendedahkan Platform Telaga Gas (Wellhead Platform) untuk Projek Pembangunan Gas Bersepadu ini sedang giat dibina di Pengkalan Industri SapuraKenchana di Lumut Perak. Sebuah Kapal FPSO (Floating, Production, Storage and Offloading ) untuk kerja pengeluaran awal sedang disiapkan di tempat yang sama.

Pada November lepas SapuraKencana dilaporkan membuat dua pemakluman kepada Bursa Saham – Pertama mengenai anak syarikat milik penuhnya, Allied Marine & Equipment Sdn Bhd telah dianugerahkan kontrak perkhidmatan dalam laut selama tiga setengah tahun.

Pemakluman kedua yang difailkan pada hari yang sama, mengatakan bahawa satu lagi anak syarikat milik penuhnya, Kencana HL Sdn Bhd memperoleh kontrak RM135.8 juta daripada HESS Exploration.

Seperti yang diketahui umum Syarikat SapuraKechana milik bersama anak Tun Mahathir iaitu Datuk Mokhzani, beliau bertindak sebagai Naib Pengerusi SapuraKencana, setelah penggabungan Syarikat Kenchana Petroleum miliknya dan Sapura Crest membentuk entiti antara yang terbesar di rantau ini. Ini membangkitkan persoalan umum kerana Tun Mahathir adalah Penasihat kepada PETRONAS.

Pada November lepas Negara dikejutkan dengan jawapan Tun Mahathir ketika ditanya portal Malaysiakini mengenai hal ini, iaitu:
“Ya sudah tentu, dia (Mokhzani) mendapatnya kerana saya arahkan Petronas. Masukkan itu dalam akhbar awak.

“Saya mempengerusikan segala-galanya. Saya memberitahu mereka, sila berikan kepada anak saya dan bukan orang lain. Itulah apa yang saya buat selama ini.

“Apabila saya jadi perdana menteri, segala-galanya dapat pada anak-anak saya.
“Tetapi apabila semuanya dapat pada anak-anak perdana menteri-perdana menteri lain, awak tak mahu menyebut kerana dia seorang yang baik.”

Kami meragui bagaimana PETRONAS menganugerahkan projek bernilai jutaan ringgit kepada sebuah syarikat yang mana anak kepada Penasihat PETRONAS terlibat secara langsung. Beliau seolah-olah amat berkuasa dan menjawab persoalan mengenai soal ”kebertanggungjawaban” dengan angkuh.

HAK PENDARATAN TERUS DINAFIKAN.

Kelantan terus dinafikan Hak Pendaratan setelah pendaratan gas dari Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand(MTJDA). Kawasan Joint Development Area (JDA) Malaysia-Thailand (dalam perairan Kelantan) platform bersepadu telah beroperasi di Medan Telaga Cakerawala telah bermula sejak 2005 terletak hanya 150 kilometer dari Bandar Kota Bharu. Ianya terletak 260 km dari Bandar Songkhla dan 310 km dari Kerteh.
Dengan Jarak 150km dari Kota Bharu ke kawasan pengeluaran minyak & gas di JDA tetapi paip menyalurkan gas didaratkan ke Songkla yang jaraknya 260km dari JDA (berbeza jarak 110km dari Kelantan).

Dengan projek terbaru di Blok PM301, PM302 dan PM325 hak Kelantan terus dinafikan walaupun telah disediakan seluas 4000 ekar tanah di Bachok untuk pembangunan Kompleks Industri Petroleum.

JARAK

Kami menjunjung Titah KDYMM Sultan Muhammad ke-V pada Sidang Ke-12 Dewan Undangan negeri Kelantan yang bertitah supaya mendaratkan Gas dari PM301 ke Kelantan kerana Kerajaan Negeri telah menyediakan tapak sejak 1990-an lagi.

Kami ingin menyatakan kepada rakyat Kelantan bahawa mereka masih mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, dengan menggunakan kuasa UNDI pada Pilihanraya Umum 13 pada 5 Mei nanti, menumbangkan Kerajaan yang menafikan hak Kelantan untuk mendaratkan gas ke Kelantan. Insyallah seperti yang telah dijanjikan di dalam Manifesto Pakatan Rakyat, Hak Royalti & Pendaratan Gas akan direalisasikan. Gunakan kuasa UNDI dan maklumkan segala maklumat kepada ahli keluarga, jiran, sahabat-handai dan seluruh kenalan.

Pantai Timur Semenanjung akan dibangunkan sebagai Hub Pengeluaran dan Industri Petroleum antara yang terbesar di rantau Asia. Dengan impak ekonomi serta peluang pekerjaan daripada Industri akan mensejahterakan keseluruhan rakyat, segala pembangunan serta kemudahan dapat menyaingi Pantai Barat Semenanjung.

“UNDI UNTUK ROYALTI &; PENDARATAN PETROLEUM”

Ikuti kami di:

Website: www.royaltikelantan.com

FB Pages: http://www.tranungkite.net/v12/www.facebook.com/ngo.royalti
——————————————————–
Hasani Mohamed, seorang Jurutera Muda yang komited meletakkan PERUBAHAN terhadap negaranya, Seorang Aktivis ROYALTI – sebuah Gerakan NGO Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak & Gas ke Negeri Kelantan."

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails