Tuesday, April 23, 2013
Myanmar Lakukan Pembersihan Etnik Rohingya
BANGKOK - Myanmar telah melancarkan kempen pembersihan etnik ke atas etnik Rohingya beragama Islam, lapor Human Rights Watch (HRW) yang mengaitkan wujudnya perkuburan besar-besaran dan pengusiran melibatkan puluhan ribu etnik tersebut.
Etnik Rohingya yang dinafikan kerakyatan mereka itu berdepan dengan jenayah kemanusiaan seperti pembunuhan, penganiayaan dan pengusiran, jelas HRW yang berpangkalan di New York. Para pegawai pemerintah Myanmar, pemimpin komuniti dan sami Buddha telah menganjur serta menggalakkan samseng-samseng yang dilindungi oleh pihak berkuasa negeri untuk melakukan serangan terancang ke atas perkampungan Islam di negeri Rakhine Oktober tahun lalu.
"Pemerintah Myanmar terlibat dalam kempen pembersihan etnik Rohingya yang berterusan hingga ke hari ini dengan menyekat bantuan dan pergerakan mereka," kata Timbalan Pengarah HRW Asia, Phil Robertson.
Jurucakap Presiden Myanmar, Ye Htut bagaimanapun menegaskan pemerintah tidak akan memberi perhatian terhadap laporan yang bersifat sebelah pihak itu.
Pemerintah Myanmar sebaliknya menunggu laporan kajian suruhanjaya rasmi yang ditubuhkannya untuk menyiasat keganasan tersebut. Namun, pendedahan laporan itu sudah ditangguh beberapa kali.
Di Rakhine, lebih 125,000 orang etnik Rohingya dan penganut Islam lain telah diusir. Mereka juga disekat daripada menerima bantuan kemanusiaan dan dilarang pulang ke rumah masing-masing. - AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment