Monday, April 15, 2013
PAS Kalah Perang Poster Di Putrajaya, Strategi Husam?
Anggota Unit Amal PAS mencabut balik bendera yang dipasang sebaik sahaja selesai program, jika tidak ia akan dibuang pihak lain
PUTRAJAYA: Ketika kawasan lain sedang rancak berperang bendera menjelang pilihan raya umum Mei ini, namun suasana ini tidak dapat dirasai di P.125 Putrajaya.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya adakah BN sahaja yang bertanding di parlimen Putrajaya memandangkan hanya bendera BN sahaja yang memenuhi pusat pentadbiran kerajaan itu.
Dalam tinjauan Harakahdaily, baru-baru ini sebaik sahaja Datuk Husam Musa dicalonkan sebagai calon PAS Putrajaya, mendapati di sepanjang jalan Persiaran Putrajaya dipenuhi bendera BN, tidak sehelai pun terdapat bendera PAS.
Malah Harakahdaily turut menerima mesej 'WhatsApp' daripada warga Putrajaya yang menanyakan sama ada PAS bertanding atau tidak di sana.
"PAS bertanding ke di Putrajaya, satu bendera pun tak ada? Bendera perlu naikkan semangat," ujar salah seorang pengundi di sana.
Ketika menghadiri liputan kempen pertama Husam di Presint 18 Khamis lalu, laluan ke tempat ceramah dipenuhi dengan bendera PAS yang diselang seli dengan bendera BN.
Bagaimanapun, selesai sahaja program itu kira-kira jam 11.30 malam kelihatan petugas Unit Amal PAS sedang mencabut dan menggulung semula kesemua bendera itu.
Harakahdaily, cuba mendapat penjelasan mengapa mereka menggulung semua bendera PAS kerana pilihan raya semakin hampir dan bendera itu diperlukan kerana PAS pun turut bertanding di situ.
Menurut petugas Unit Amal, mereka perlu berbuat demikian kerana ada sesetengah pihak yang tidak menyenangi kebangkitan PAS di Putrajaya lebih-lebih lagi apabila PAS meletakkan Husam di kota pentadbiran itu.
"Kalau kami pacak bendera PAS jam tiga pagi, jam empat pagi mereka datang cabut bendera PAS. Kami sayangkan bendera ini. Bila ada program PAS baru kami pacak, habis sahaja program kami cabut simpan. Begitulah rutin kami mungkin sampai pilihan raya.
"Malah kami pernah diberi amaran, jangan sekali-kali pacak bendera PAS," kata salah seorang petugas Unit Amal yang ditemui.
Namun, bendera bukanlah bahan kempen utama kerana PAS Putrajaya bersama Husam mempunyai strategi dan pendekatan yang tersendiri bagaimana hendak menawan hati pengundi Putrajaya. (Hrkh)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment