MARANG - Pas bersedia menawarkan simbol partinya kepada calon DAP
seandainya parti sekutunya itu dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar
Pertubuhan (ROS). Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata langkah itu dibuat
kerana amalan 'berkongsi' logo dalam pakatan pembangkang pernah diguna
sebelum ini khasnya di Sabah dan Sarawak.
"PKR (Parti Keadilan Rakyat) ada pembahagian parti-parti di Sabah. Saya
dimaklumkan di sana parti-parti (pembangkang) Sabah guna simbol PKR dan
kita mengizinkan rakan PR (Pakatan Rakyat) guna simbol Pas.
"Seperti yang diuar-uar oleh media, kemungkinan DAP akan diambil
tindakan sebab mesyuarat agung dia. Kalau DAP tidak dibenarkan guna
simbol (roket) dia (oleh ROS), Pas bersedia beri simbol Pas," katanya
dalam sidang akhbar di rumahnya di Rusila di sini hari ini.
Pas sedia memberi kerjasama tersebut sekiranya ROS menggantung DAP
sebagai parti politik sementara menunggu siasatan mengenai dakwaan
penyelewengan ketika pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti
itu selesai. Ketika pemilihan CEC Disember lepas sepatutnya ada 2,576 perwakilan
mengundi bagi memilih 20 anggota CEC, namun 753 perwakilan yang layak
tidak diberi peluang berbuat demikian.
Bagaimanapun, pimpinan DAP kemudian mendakwa ada kesilapan teknikal
dalam penjumlahan undi dan mengarahkan pengiraan semula undi dan membuat
pembetulan, menyebabkan beberapa anggota parti membuat aduan kepada
ROS. - Bernama
No comments:
Post a Comment