Monday, April 22, 2013

PRU13: Baca Ini, Apa Rahsia Presiden PAS Nak Sampaikan?

Qleh HJ ABDUL HADI AWANG
Sifat-Sifat Kemenangan Kepada Pembela Agama Allah  

DALAM memperkatakan tentang era kegemilangan sejarah umat Islam, kita tidak boleh memisahkan diri untuk memperkatakan mengenai pendokong dan pembawa dakwah yang pertama, peribadi yang menjadi qudwah atau ikutan seluruh zaman Islam, iaitu Rasulullah SAW menjadi pelaksana yang pertama, unggul dan ulung serta penafsir yang sebenarnya mengenai Islam yang diwahyukan oleh Allah Taala. Dengan lain perkataan, diri Rasulullah SAW merupakan penerusan daripada dakwah yang dibawa oleh Para Nabi dan Rasul. 

Hakikat dan prinsip ini dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran:
  • “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu, mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.”(Surah al-Nahl : ayat 36)
Pengabdian seluruh dan seutuhnya kepada Allah. Pengabdian yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Kesemua Para Rasul membawa prinsip pengabdian ini. Di zaman kegemilangan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, Baginda telah melahirkan suatu generasi yang unggul dan pertama.

Generasi Para Sahabat yang dilahirkan bukan sahaja berdasarkan kepada wahyu Allah, tetapi pelaksanaan perintah wahyu yang dikemukakan oleh Rasulullah SAW secara praktikal. Rasulullah SAW telah menerima wahyu yang pertama dalam keadaan gementar sehingga pulang ke rumah dan terus berselimut. Kemudian disusuli pula dengan wahyu yang kedua supaya bangkit bertindak dan beramal. Rasulullah SAW bukan sahaja menerima ilmu itu, tetapi hendaklah disampaikan secara praktikal.

Rasulullah SAW tidak diperintahkan hanya sekadar memperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran berhampiran Kaabah, tetapi ia bererti suatu bebanan tugas yang berat agar disampaikan peringatan daripada Allah. Suatu tugas yang diamanahkan untuk membetulkan kehidupan manusia dalam segala bidangnya.

Baginda Rasulullah SAW dapat melahirkan keunggulan peribadi generasi yang pertama. Generasi yang dibentuk dengan penghayatan Islam semurninya dan keimanan yang sesucinya. Generasi yang ditanamkan keyakinan yang sebenar untuk melaksanakan seluruh ajaran Islam dan menyampaikan Islam itu kepada manusia sejagat. Pembentukan itu sebagaimana yang ditekankan pada awal lagi, bukan sekadar suatu pengisian ilmu semata-mata atau sekadar maklumat dan beramal dari segi lahiriyyah sahaja, tetapi pembentukan yang melulusi beberapa siri ujian. Pembinaan menerusi tekanan-tekanan, penindasan dan ujian yang dilakukan oleh golongan jahiliyyah; golongan taghut yang pertama dihadapi oleh Rasulullah SAW.

Penerapan keimanan dan keyakinan ini dilalui oleh Rasulullah SAW bukan menerusi penyampaian ayat-ayat suci al-Quran supaya generasi Islam yang pertama hanya bersabar dalam menempuh rintangan dan tekanan. Tetapi Rasulullah SAW sendiri yang pertama menghadapi ujian dan tekanan itu secara praktikal dan nyata. Ujian dan tekanan yang berterusan sama ada dalam bentuk fizikal ataupun kejiwaan. Baginda diuji dengan beberapa siri penyeksaan sepertimana yang sempat dirakamkan dalam lembaran sejarah. Baginda diuji dengan tawaran kemewahan, harta-benda dan pangkat.

Namun begitu, Rasulullah SAW menolak segala kepentingan duniawi dengan meletakkan kepentingan Islam lebih tinggi daripada segala-galanya. Ini jelas terukir mantap dalam catatan sirah ketika Baginda menolak cadang-cadangan yang dikemukakan oleh wakil Abu Jahal.
  • “Wahai anak saudaraku! Kedudukanmu dari kalangan kami seperti yang diketahui olehmu dalam ikatan kekeluargaan. Sesungguhnya kamu telah membawa kepada kami suatu perkara yang besar. Kamu telah memecah-belahkan perpaduan mereka, memperbodohkan impian mereka dan mencela nenek-moyang mereka. Dengarlah dariku agar aku kemukakan kepadamu beberapa perkara untuk memberi pandangan dan menerima sebahagian daripadanya!”
Rasulullah SAW menjawab, 
  • “Katakanlah, wahai Abu Walid (gelaran ‘Utbah) apa yang kamu ingin perkatakan!”
Abul Walid mengemukakan cadangannya, 
  • “Wahai anak saudaraku (bahasa panggilan yang halus! Kalaulah apa yang kamu bawa ini kerana mahukan harta kekayaan, kami bersedia mengumpulkan untuk kamu harta- benda sehinggalah kamu menjadi orang yang paling berharta di kalangan kami. Kalau kerana mahukan kedudukan, kami bersedia, melantik kamu menjadi ketua kami sehinggalah kami tidak menandingi kamu. Jika sekiranya kamu mahu menjadi raja, kami bersedia menabalkan kamu menjadi raja kami.” (rujuk Sirah Ibnu Hisyam)

Lalu Rasulullah SAW bertanya, 
  • “Sudah habis pandangan daripada kamu?”
Utbah menjawab, “Ya!”

Seterusnya Rasulullah SAW bersabda dan membacakan;

  • “Ha, Mim (Allah Yang Maha Mengetahui akan maksudnya).”
  • “Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.”
  • “Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.”
  • “Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya, maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya).”
  • “Dan mereka berkata; Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami),” (Surah Fussilat : ayat 1-5)
Rasulullah SAW meneruskan bacaannya. Tiba-tiba ‘Utbah tersandar ke belakang dengan bertongkatkan kedua-dua belah tangannya. Kemudian apabila sampai ayat sujud, Rasulullah SAW terus bersujud. Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda, 
  • “Adakah kamu mendengar itu?”
Abul Walid lantas pulang dengan wajah yang berubah. Penolakan harta-benda yang ditawarkan, pangkat yang dijanjikan ini merupakan pelaksanaan secara praktikal yang diperlihatkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya. Penolakan yang menekankan tentang tujuan pelaksanaan Islam bukanlah sekadar untuk dilantik menjadi pemerintah tanpa menentukan apakah bentuk sistem yang akan dilaksanakan. Ataupun sekadar menerima kedudukan dan tempat dalam pimpinan tanpa menentukan apakah matlamat sistem yang hendak dilaksanakan.

Penolakan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW merupakan kenyataan yang jelas, yang ditaati dan diikuti oleh Para Sahabatnya secara praktikal. Generasi yang meletakkan kepentingan Islam yang bakal dilaksanakan oleh mereka di dalam Negara Islam dan Masyarakat Islam yang pertama lebih berharga daripada segala kepentingan duniawi ini. Kemudiannya ujian seterusnya menampilkan konspirasi ganas penekanan pihak kuffar dan ugutan-ugutan yang mengancam jiwa raga serta menyeksa tubuh badan. Sehingga penekanan itu memaksa orang-orang yang beriman untuk berhijrah meninggalkan kepentingan tanahair, keluarga, rumahtangga, pangkat dan segala-galanya.

Meskipun tidak dapat dinafikan bahawa urusan dan keperluan duniawi itu adalah penting, namun Islam menjadi prinsip kepada semua itu hendaklah dipentingkan dari segalanya. Kita tidak juga dapat menafikan bahawa tanahair, keluarga dan harta-benda adalah menjadi suatu keperluan dalam perjuangan untuk menegakkan Islam dan membentuk generasi Islam. Tetapi Islam adalah lebih utama dan mesti terlaksana.

Setelah keyakinan Islam itu dapat dipertontonkan secara ‘amali, maka baharulah diperintahkan supaya menegakkan negara Islam yang pertama. Sebuah negara yang ditegakkan tanpa berhajat kepada angkatan polis atau bala tentera, justeru kerana setiap anggota dalam negara itu adalah polis dan tentera yang menjalankan kewajipan masing-masing. Sebuah negara yang menjadi impian kepada ahli-ahli falsafah Yunani di Barat, Parsi dan sebahagiannya di Timur, tetapi menjadi kenyataan kepada generasi terbaik umat Islam.

Sebenarnya, Islam yang diwahyukan oleh Allah bukanlah merupakan suatu teori yang hendak diuji, yang belum tentu jaya-gagalnya. Tetapi ia merupakan ajaran Allah yang menjadi jawapan yang tepat bagi menjawab dan menyelesaikan seluruh permasalahan yang dihadapi oleh umat manusia. Negara Islam yang pertama ditegakkan oleh Rasulullah SAW menerusi pembinaan generasi Sahabat yang bakal mewarisi perjuangan Islam di masa akan datang. Ianya ditegakkan melalui akidah, kaedah dan cara yang dapat menjadi contoh dan teladan kepada umat-umat lain.

Islam itu ditegakkan bukan menerusi ugutan-ugutan ketenteraan, tetapi berdiri di atas prinsip perlaksanaan yang adil lagi bersih. Kebaikan dan keadilan yang bukan sahaja dapat dilihat oleh umat Islam, bahkan golongan bukan Islam yang bernaung di bawah negara Islam. Kebaikan dan keadilan yang menyentuh hati nurani untuk menyedari dan menginsafi bahawa Islam adalah lebih baik daripada keadilan yang dicadangkan oleh sistem-sistem bikinan mereka. Kebenaran dan pembelaan hak dalam Islam adalah ajaran yang jauh lebih indah dan agung daripada apa yang pernah digembar-gemburkan oleh pembesar-pembesar mereka.

Itu semua dapat terpancar dan menyerikan suasana umat manusia setelah umat Islam diuji dan dicuba secara praktikal bersama-sama dengan Rasulullah SAW sehingga mereka mencapai kemuncak peningkatan iman. Peningkatan keimanan yang tumbuh subur dalam jiwa umat Islam bergerak sejajar dengan meningkatnya kezaliman yang dilakukan oleh golongan jahiliyyah. Hakikat ini dialami dan dilalui secara nyata supaya nanti mereka tidak melakukan kezaliman ketika mereka diberi amanah di dalam urusan pemerintahan. Mereka pantas menjadi jurubicara untuk membela hak apabila mereka diberi peluang untuk membela hak orang lain. Mereka dapat melaksanakan kepentingan umat manusia ketika diberi peluang untuk melaksanakannya.

Generasi yang menyaksikan penyelewengan dan kebobrokan sistem jahiliyyah secara nyata dan menerusi penyaksian itu bangun untuk merubah, meruntuh dan meranapkan sistem itu. Hasil daripada cara inilah, maka terbentuknya generasi gemilang umat Islam yang mewarisi perjuangan Rasulullah SAW. Generasi gemilang yang terus melaksanakan amanah risalah Islam setelah wafatnya Rasulullah SAW. Generasi yang dibentuk keperibadiannya menerusi tamrin dan tarbiyyah di dalam Sirah Rasulullah SAW.

Oleh itu, kewafatan Rasulullah SAW yang membawa Islam hingga hari kiamat ini menjadi suatu hikmah yang besar ertinya. Ia merupakan bukti yang jelas tentang keabadian Islam yang akan dijulang dan disebarkan oleh generasi-generasi yang menurut jejak langkah Rasulullah SAW.

Generasi Para Sahabat bukan sahaja menerima perubahan fikrah menerusi penyampaian wahyu dan sabda Rasulullah SAW, tetapi generasi yang cekal menggagahi setiap ujian sehingga dapat membentuk keperibadian mereka sama ada dari segi individu ataupun jamaah. Dari sinilah terpancarnya sinar pijar (putih) yang gilang-gemilang kekuatan jamaah Islam yang pertama.

Kekuatan jamaah yang melaksanakan ajaran Islam yang syumul, lengkap dan sempurna. Kekuatan yang berakar umbi dari keimanan yang bulat kepada Allah, yang dihayati oleh Rasulullah SAW sebagai individu dan pimpinan jamaah. Kekuatan yang mengikat setiap diri para sahabat untuk tunduk dan patuh kepada kepimpinan Rasulullah SAW dan melaksanakan perintah Allah tanpa soal.

Generasi Islam yang pertama terdiri daripada individu-individu yang hanya bergantung bulat kepada Allah. Tidak memandang ke Timur dan tidak pula memandang ke Barat. Individu-individu yang hanya menerima perintah arahan, hukum dan perundangan daripada Allah, sekaligus menolak dengan tegas setiap unsur-unsur yang lain dari Islam. Individu-individu yang hanya mengambil ajaran, sistem dan neraca penghayatan daripada Allah. Mereka menyelesaikan seluruh permasalahan yang timbul dengan terlebih dahulu merujuk kepada ketetapan hukum Allah, bukan melaksanakan sesuatu kemudianbaru dirujuk kepada Allah.

Inilah dia individu-individu yang pertama dibentuk oleh Rasulullah SAW, yang menjadi batu-bata dalam mengikat padu jamaah Islam. Batu bata yang mengikat suatu jamaah yang bergerak melanda segala liku berduri. Keutuhan dan kesepaduan suatu jamaah yang telah diuji secara praktikal di dalam peperangan Badar, peperangan Uhud, peperangan Hunain dan beberapa siri peperangan yang lain. Peristiwa-peristiwa yang mengajar umat Islam bahawa mereka tidak boleh menyimpang walaupun sedikit daripada mengabdikan diri kepada Allah.

Mereka diberi kemenangan dalam peperangan Badar, meskipun jumlah mereka terlalu kecil. Tetapi oleh sebab jiwa mereka suci dan hati mereka bersih untuk tunduk mengabdikan diri kepada Allah semata-mata, maka mereka telah dianugerahkan dengan kekuatan dan kemenangan. Tidak ada kebendaan yang dicari dan tidak ada pengaruh duniawi yang menjadi matlamat dan tujuan dalam perjuangan mereka.

Sebaliknya, dalam peperangan Uhud, apabila hanya ada segelintir sahaja daripada jamaah Islam itu yang tidak mengikut arahan Rasulullah SAW mereka telah diajar dengan percikan darah yang menitis keluar daripada tubuh umat Islam, sehingga gigi Rasulullah SAW sendiri patah dan pipinya berdarah. Justeru kerana sedikit daripada mereka meninggalkan bukit strategi untuk mengejar ghanimah perang dan kebendaan, mereka telah diajar oleh Allah melalui syuhada’ yang bergelimpangan. Dan bagaimana mereka diuji sekali lagi secara jama'ah di dalam peristiwa peperangan Hunain tatkala mereka berbangga dengan jumlah mereka yang ramai. Mereka merasakan bahawa mereka tidak mungkin dapat dikalahkan :
  • “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” (Surah al-Taubah : ayat 25)
Peristiwa ini menjadi dalil yang kuat untuk membuktikan bahawa kejayaan dan kemenangan umat Islam, kegemilangan generasi Islam bukanlah bikinan manusia, tetapi ia adalah kurniaan daripada Allah Taala. Pertolongan dan kurniaan daripada Allah itu tidak akan datang secara percuma, walaupun Islam ini adalah agama yang diturunkan oleh Allah.

Hal ini sepertimana yang disebut oleh Al Syahid Sayyid Qutb di dalam bukunya Ma'alim fi Toriq;
  • “Meskipun Allah Taala boleh memberi kemenangan kepada umat Islam sebagaimana turunnya hujan dari langit, tetapi oleh kerana Islam itu diturunkan kepada manusia, maka kejayaan dan kegemilangan Islam ini hendaklah berjalan melalui proses kemanusiaan itu sendiri. Melalui sifat-sifat yang ada pada manusia, yang dibentuk melalui cara kehidupan manusia serta melalui tekanan dari penindasan yang dihadapi oleh mereka. Oleh kerana itulah Allah melatih dan membentuk mereka melalui wahyu secara individu dan jamaah, membentangkan di hadapan mereka ribuan tribulasi yang nyata dan praktikal. 
  • Sentuhan wahyu yang menggarap sikap dan semangat untuk memikul amanah Islam sehingga lahirnya individu-individu dalam rangkaian suatu jamaah yang padu dan kuat. Lahirnya jamaah Islam yang dapat melaksanakan perintah Allah tanpa syarat. Suatu jamaah yang tidak pernah menyimpang walau di saat wafatnya Rasulullah SAW. Mereka tidak mungkin dapat digugat, sebagaimana mereka tidak dapat digugat di zaman Rasulullah SAW.”
Generasi Para Sahabat yang dibentuk oleh Rasulullah SAW adalah generasi yang dapat memenuhi ciri-ciri jamaah Islam dan ciri-ciri individu yang menganggotai jamaah Islam. Mereka tidak pernah terpisah daripada risalah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dan mereka tidak juga bercita-cita untuk menukar aqidah keimanan mereka dengan sesuatu yang lain.

Mereka tetap taat menjunjung pesanan Rasulullah SAW, meskipun Rasulullah SAW sudah pergi dan tiada bersama mereka. Antara pesanan Baginda SAW kepada sahabatnya,  
  • “Aku tidak takut kepada kemiskinan yang mengenai kamu. Tetapi aku takut terhadap keduniaan yang dibentang kepada kamu, sehingga kamu menjadi binasa dengan dunia, sebagaimana umat yang terdahulu daripada kamu binasa.” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Lantaran itu, mereka thabat berpegang kepada slogan-slogan yang dilaungkan oleh golongan Muhajirin dan Ansar ketika mendirikan masjid Nabawi bersama-sama dengan Rasulullah SAW, 
  • “Wahai Tuhan, sesungguhnya tidak ada kehidupan melainkan kehidupan akhirat. Wahai Tuhan, berilah pertolongan kepada Muhajirin dan Ansar”.
Inilah generasi gemilang. Mereka tidak sedikit pun terikat kepada kehalobaan dunia, tetapi mereka memerintah dunia seluruhnya. Walaupun mereka diberi kemewahan dan kekayaan, tetapi mereka memerintah kemewahan dan kekayaan itu, bukannya terpedaya dengan pujukan rayu hawa nafsu lantas menjadi hamba kepada kemewahan. Ini menunjukkan kepada kita bahawa risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW merupakan risalah yang membentuk manusia berlandaskan keyakinan dan keimanan. Risalah yang tegak berpaksikan taqwa dan pengabdian kepada Allah Taala.

Generasi gemilang pertama yang bersama-sama dengan Rasulullah SAW dilahirkan di Semenanjung Tanah Arab, bumi yang kering kontang, tanpa hasil mahsul dan jauh dari tamaddun kebendaan. Keadaan tumbuhnya watak dan keperibadian gemilang generasi pertama ini menjadi suatu siratan yang penuh hikmat dan pengertian.

Kalaulah kemenangan Islam itu ditumpukan kepada kekuatan jumlah, maka lebih baik generasi ini dilahirkan di tempat yang mempunyai jumlah manusia yang ramai. Kalaulah kemenangan itu berdasarkan kepada kekuatan kebendaan, mengapakah Allah tidak melahirkan Rasulullah SAW itu di negeri Parsi, Rom, India atau China; negara-negara yang kaya dengan tamadun kebendaan. 

Tetapi hakikat ini tersimpul kemas dalam kenyataan bahawa kekayaan, kemewahan dan tamadun kebendaan bukanlah menjadi pra-syarat kepada matlamat kehidupan manusia, serta bukan juga menjadi pra-syarat untuk mendapat melahirkan generasi yang gemilang itu. Ia hanya menjadi alat semata-mata yang tidak mungkin berguna sama sekali melainkan ia diarahkan di atas landasan keimanan kepada Allah Taala.

http://www.tarbawi.my

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails