Oleh UMCEDEL
Nota ini merujuk kepada pandangan beberapa orang penganalisis politik berkaitan dengan hasil kaji selidik yang telah dijalankan oleh UMCEDEL berkaitan pilihan pengundi menjelang pilihan raya umum ke-13 yang disiarkan dalam www.sinarharian.com.my online pada 27 April 2013.
Hasil kaji selidik ini telah dihebahkan semasa persidangan akhbar pada 25 April 2013 di Universiti Malaya yang telah dihadiri oleh pemberita daripada dalam dan luar negara termasuk beberapa orang diplomat antarabangsa. Kesempatan juga telah diberikan kepada wartawan dan diplomat untuk mengemukakan persoalan dan meneliti lebih lanjut kajian yang kami jalankan.
Beberapa penjelasan kepada kajian tersebut:
1.
Berlaku kekeliruan berkaitan istilah populasi dan sampel. Populasi
merujuk kepada keseluruhan komponen samada jumlah penduduk negara atau
jumlah pengundi. Sementara sampel adalah sebahagian komponen yang akan
mewakili keseluruhan populasi. Standard dan prosedur statistik yang
menjadi amalan kajian di peringkat tempatan dan antarabangsa adalah
mendapatkan sampel. Contoh yang paling mudah, doktor tidak perlu
mendapatkan sebahagian besar atau kesemua darah pesakit untuk mengetahui
penyakit namun hanya cukup dengan setitik darah sahaja.
2.
Pemilihan responden seramai 1407 adalah mewakili keseluruhan komponen
pengundi berdasarkan pecahan etnik, jantina, struktur umur, lokasi
tempat tinggal, status pekerjaaan dan pendidikan. Sampel yang dipilih
adalah responden yang telah mendaftar sebagai pengundi dan pernah
mengundi dalam pilihan raya. Jumlah sampel tersebut adalah standard
sampel yang digunakan oleh badan penyelidik antarabangsa seperti MORI,
YouGov dan Gallup. Malah beberapa badan penyelidik akademik serantau
seperti Election Study Center di National Chengchi Universiti di Taiwan,
Lembaga Survey dan Lingkungan Survey di Indonesia juga mengggunakan
jumlah sampel yang hampir sama. Metodologi yang digunakan dalam kajian
adalah secara bersemuka menggunakan soalan yang berstruktur.
3.
UMCEDEL adalah badan penyelidikan akademik yang bernaung di bawah
Kluster Kemanusiaan dan Sains Sosial Universiti Malaya yang dianggotai
oleh ahli akademik tempatan dan antarabangsa. Kepakaran ahli UMCEDEL
termasuk dalam bidang statistik, sains politik, politik
antarabangsa,sistem maklumat geografi, sejarah dan geografi pilihan
raya. Kajian yang kami jalankan mematuhi standard akademik dan dibiayai
oleh universiti yang mempertahankan nilai intergriti, telus dan tidak
memihak kepada mana-mana individu ataupun parti politik.
4.
Masyarakat juga tentunya menantikan kajian daripada
penganalisis-penganalisis politik yang terlibat secara langsung di
lapangan untuk mendapatkan gambaran sebenar yang berlaku di peringkat
akar umbi dan bukannya bergantung kepada pemerhatian politik melalui
media semata-semata.
5.
Pihak yang berminat boleh melayari laman sesawang www.umcedel.um.edu.my
untuk mendapatkan butiran lanjut kajian tersebut dan beberapa kajian
yang telah kami jalankan. Pihak kami juga bersedia berdiskusi dengan
mana-mana individu dan pertubuhan yang mahu meneliti lebih lanjut kajian
kami. Pandangan dan komen separuh masak yang tidak mempunyai nilai
akademik tanpa melihat dengan lanjut kajian tersebut amat dikesali.
Sekian.
Sekretariat UMCEDEL
27 April 2013
No comments:
Post a Comment