Saturday, May 18, 2013

Belajar Baahasa Mandarin Memudahkan Dakwah -Nik Aziz

KOTA BHARU- Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Gambar) menyarankan orang Melayu-Islam di negara ini mempelajari bahasa Mandarin dengan niat memudahkan proses untuk berdakwah kepada masyarakat Cina.

Menurutnya, beliau menekankan perkara itu kerana Islam adalah agama untuk semua bangsa dan penguasaan bahasa membolehkan dakwah dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

“Saya selalu sebut di Kelantan kena ada sekolah bahasa Mandarin. Ia membolehkan kita terangkan Islam kepada Cina, saya baru ada cucu untuk belajar bahasa Mandarin sekarang ini. Ramai dah anak saudara belajar bahasa itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Perdana meraikan Kejayaan Mengekal Kerajaan Islam Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini. Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. Sebelum ini, Nik Aziz pernah menyatakan beliau bersetuju sekiranya Kelantan diperintah orang Cina Muslim yang berpengetahuan luas mengenai agama Islam.

Nik Aziz berkata, beliau yakin pada masa hadapan pendakwah di negara ini akan dapat menguasai bahasa Mandarin memandangkan sudah menjadi trend masa kini bahasa itu sudah dipelajari oleh orang pelbagai bangsa. Dalam pada itu bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, Pas adalah satu-satunya parti yang memperjuang Islam kepada semua bangsa termasuk golongan Cina yang sebelum ini takut dengan Islam.

Malah beliau turut menyatakan amatlah malang bagi Umno, parti yang dikuasai oleh Melayu-Islam, tetapi tidak mahu mengamalkan ajaran Islam,  apatah lagi mahu berdakwah kepada masyarakat Cina. (SH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails