SHAH ALAM - Pas Selangor menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan
Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua sebagai salah faham berhubung isu
senarai Exco yang diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim mengikut nisbah 4-3-3.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Abdul Samad berkata,
dalam mesyuarat yang telah diadakan pada Khamis lalu Pakatan Rakyat (PR)
Selangor telah membuat dua opsyen mengenai senarai nama Exco untuk
dihantar kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurutnya, salah satu opsyen itu menyenaraikan lima Exco daripada calon Melayu dan lima daripada bukan Melayu.
Beliau turut menjelaskan opsyen menjadi pilihan baginda mungkin
daripada enam calon Melayu dan empat calon bukan Melayu di mana Pas
mendapat empat tempat di dalam Exco Selangor.
"Saya rasa Tony Pua lupa dengan keputusan yang kita buat dalam mesyuarat itu.
"Kita tidak mahu gaduh dengan perkara yang telah diputuskan oleh Sultan Selangor," katanya kepada Sinar Harian Online.
Kelmarin, Abdul Khalid mengumumkan bahawa Barisan Exco Selangor akan
diwakili empat calon daripada Pas dan masing-masing tiga daripada PKR
dan DAP.
Beliau turut memaklumkan akan mengguna pakai formula 3:3:4 (PKR: DAP:
Pas) sekaligus mengesahkan cakap-cakap akan berlaku perubahan dalam
agihan perwakilan dalam barisan exco berikutan penguasaan Pas serta DAP
yang masing-masing dengan 15
kerusi di Dun berbanding 14 kerusi oleh PKR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu.
Sementara itu, Sinar Harian Online difahamkan, mesyuarat yang diadakan
oleh PR negeri Selangor telah memutuskan dua plan atau opsyen untuk
pelantikan barisan Exco negeri itu.
Antaranya lima calon Melayu dan lima calon bukan Melayu di mana tiga
tempat calon Melayu adalah daripada Pas, dua tempat daripada calon
Melayu PKR, empat tempat akan dimiliki oleh DAP bagi calon bukan Melayu
dan satu tempat untuk PKR.
Manakala plan yang kedua nisbah calon Melayu, enam nisbah empat calon
bukan Melayu, di mana empat tempat calon Melayu dimiliki oleh Pas, dua
daripada PKR untuk tempat calon Melayu, tiga DAP untuk tempat calon
bukan Melayu dan satu daripada PKR.
Sebelum ini, Pua yang dipetik dari portal The Malaysian Insider
mendakwa, parti itu seharusnya mendapat empat kerusi Exco berbanding
tiga yang diumumkan Abdul Khalid dan jawatan speker Dun.
“Semalam (kelmarin) kami dapati senarai nama yang lain.
“Kami mahu tahu mengapa... tiada masalah pada Khamis. Ia adalah mesyuarat sekejap setengah jam,” katanya
Mengulas lanjut, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, Pas
juga tidak mengetahui apa yang dibincangkan di antara Sultan Selangor
dan Abdul Khalid mengenai perkara tersebut.
"Itu semua keputusan yang dibuat melalui perbincangan Tan Sri (Abdul Khalid) dengan baginda.
"Kita kena hormatlah keputusan itu, lagipun baginda ada kuasa sama ada untuk perkenan atau tidak," katanya lagi. (SH)
No comments:
Post a Comment