Tuesday, May 14, 2013

Hari ini (13 Mei) 44 tahun lalu -Rossem

44 tahun dulu, tanggal 13 Mei 1969, rusuhan pecah. Langit Kuala Lumpur merah. Asap hitam berkepol, rumah-rumah dijarah, tinggal puing, mayat bergelimpangan, rakyat panik.

Ketika itu usia belasan tahun, menuntut disebuah institusi pembelajaran di pinggir Kuala Lumpur, tiba-tiba seorang pegawai Polis pangkat tinggi datang “Sesiapa mahu menjadi sukarelawan polis boleh daftar nama sekarang juga”

Setelah mendaftar nama bersama ratusan teman-teman pelajar. Esoknya dibekalkan selaras senapang setiap seorang dengan 10 biji peluru penabur. Kartu berwarna kuning dengan lambang polis yang tertera nama pemilik diberikan.

“Tugas kamu membantu mengawal pengungsi (pelarian) yang melarikan diri dari kawasan awan ke lokasi selamat yang disediakan pemerintah, iaitu di Stadium Negara dan Stadium Chinwoo yang berdekatan,” kata pegawai polis itu kepada komandan sekolah kami belajar.

Melihat anak-anak kecil yang menangis, ibu-ibu yang ketakutan, dan orang tua yang uzur dan saling curiga mencurigai tinggal dalam kondisi bersesak -sesak sehelai sepinggang dalam stadium, dengan bekalan air minum tak mencukupi apalagi untuk mandi, tandas tak sampai sepuluh buah untuk menampung ribuan penggusi, lalu pertanyaan pun timbul “Politik apa ini?”

Senasib dengan pengungsi ialah petugas seperti kami yang berkerja terus menerus siang malam tanpa ganti, stadium sudah menjadi rumah kami, makan ala kadar dan tanpa gaji atau elaun.

Dalam kepenatan itu, sambil baring, kami menolog “Wahai pemuka-pemuka negara yang bijaksana, kenapa kamu memilih politik perkauman seperti ini?”

Hari ini, genap 44 tahun tragedi Mei 13 berlalu, kita masih bersedih, ada lagi rupanya parti politik yang mengamalkan sikap perkauman!

Lalu teringat ucapan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat  di Seminar Keharmonian Masyarakat Majmuk Pengalaman Kelantan,  8 Oktober 2011,  PCB Resort, Kota Bharu.

“Perbalahan kaum seperti terjadi di Kuala Lumpur itu tak berlaku di Kelantan yang ketika itu di bawah pemerintahan PAS,” ujar Tok Guru.

“Ini bukan secara kebetulan, tapi lebih kepada usaha yang dilakukan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Asri Haji Muda memanggil semua penghulu seluruh Kelantan ke JKR 10, memberitahu mereka; "Kerajaan Kelantan tak mahu melihat  walau setitis  darah orang Cina tumpah di bumi ini,  atau sehelai bulu roma terlerai dari badan,” sambung  Tok Guru.  Khalayak non-Muslim yang hadir pun senyum lebar.

Sebuah harapan dari seorang pemimpin  yang meletakkan Islam segala-galanya melebihi ras.

Sekarang perjuangan itu diteruskan sosok yang baru, Datuk Haji Ahmad Yakob.

Lihat sebelum ini.. Oleh Ibnu Hasyim

1 comment:

Anonymous said...

Cukuplah kejadian 13 Mei 1969 menjadi sejarah dalam hidup kita dan menjadi pelajaran supaya perkara tersebut tidak akan berlaku lagi di zaman anak cucu kita ini.

Dikala itu nyawa jadi taruhan diatas propaganda orang orang politik yang kehilangan kuasa. Yang menjadi mangsa kita rakyat yang dibawah ini.

Janganlah kita kini cuba nak menghidupkankan kembali perasaan perkauman, yang mana akan memudaratkan negara yang telah dibina bertahun tahun...

Cukuplah apa yang telah terjadi dulu sebagai kenangan pahit untuk semua, jangan kita unlangi kesilapan dahulu untuk kesejahteraan anak dan cucu-cucu kita pada masa akan datang. Berpolitiklah secara matang dan bertangungjawab. Zaman ini bukan zaman perkauman, tapi zaman untuk kita sama sama membina Malaysia yang lebih baik

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails