Saturday, May 18, 2013

Ini Filem2 Islamik Popular Indo. Pertanda Baik?


HALAMAN HIBURAN

ADAKAH ia suatu pertanda baik, apabila filem-filem yang dikatakan Islamik ini berkembang popular di kalangan masyarakat dan remaja Indonesia? Sebagai sebuah negara dengan penduduk Islam paling ramai di dunia lebih 200 juta, sememangnya penerbitan filem-filem bercorak Islamik di Indonesia dikatakan mendapat sambutan cukup baik.

Juga menggambarkan bahawa generasi muda kini mula kembali kepada Islam, setelah dibelenggu oleh pemikiran jahat penjajah barat?

Menariknya, jom kita lihat kebanyakan filem yang dihasilkan itu.

Bila dilihat, kebanyakannya, merupakan adaptasi novel seperti karya oleh Habiburrahman El Shirazy, manakala Hanung Bramantyo pula antara pengarah yang terkenal mengarah filem-filem Islamik di Indonesia. Biarpun menerapkan elemen cinta dalam kisah yang dipaparkan, tetapi ia lebih menjurus kepada amalan yang tidak melanggar hukum agama serta sarat dengan mesej.

Berikut merupakan senarai beberapa filem Islamik dari Indonesia yang telah dihasilkan dan mendapat sambutan yang cukup membanggakan daripada para penonton.

Satu: Ayat-Ayat Cinta (2008)


Setakat ini Ayat-Ayat Cinta merupakan filem bercorak Islamik yang paling mendapat sambutan di Indonesia apabila ditonton sebanyak 3.58 juta penonton ketika ia ditayangkan di pawagam pada tahun 2008.

Ia diadaptasi daripada sebuah novel dengan judul yang sama hasil karya Habiburrahman El Shirazy, malah novel berkenaan turut mendapat sambutan yang cukup luar biasa.

Ayat-Ayat Cinta mengisahkan tentang kehidupan Fahri yang merupakan penuntut di Universiti Al Azhar, Mesir. Dia merupakan seorang lelaki yang begitu taat kepada agama dan kurang bergaul dengan wanita. Ketika berada di Mesir, Fahri berjiran dengan Maria Girgis yang merupakan wanita beragama Kristian.

Namun begitu, dia sebenarnya memendam perasaan terhadap Fahri, tetapi sekadar mampu diluahkan menerusi diarinya sahaja. Filem berkenaan menampilkan beberapa pelakon muda yang semakin meningkat naik ketika itu seperti Fedi Nuril (Fahri), Carissa Putri (Maria), Rianti Cartwright (Aisha) dan Zaskia Adya Mecca (Noura).

Dua:Ketika Cinta Bertasbih (2009)


Sebuah lagi novel popular yang dihasilkan oleh Habiburrahman El Shirazy turut adaptasi menjadi sebuah filem. Sambutan terhadap filem itu cukup baik apabila ditonton seramai tiga juta penonton. Menariknya, filem ini menampilkan Kholidi Asadil Alam dan Oki Setiana Dewi sebagai bintang utama.

Kedua-duanya merupakan pelakon baharu dan mereka dipilih menerusi satu sesi uji bakat yang diadakan untuk memilih pelakon yang membintangi filem berkenaan.

Ia mengisahkan tentang Azzam (Kholidi), seorang pemuda yang menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir. Dia dikenali sebagai pemuda yang memegang teguh prinsip Islam dalam kehidupan sehariannya. Setelah kematian bapanya Azzam yang merupakan anak sulung turut memikul tanggungjawab menampung kehidupan keluarganya di Indonesia.

Bukan sahaja bergelar mahasiswa, dia juga menjalani perniagaan tempe dan bakso untuk pelajar Indonesia yang menuntut di Mesir. Selain diadaptasi kepada sebuah filem, Ketika Cinta Bertasbih turut dihasilkan dalam bentuk drama bersiri dengan menampilkan pelakon utama yang sama.

Tiga: Perempuan Berkalung Sorban (2009)

Jika filem Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih merupakan adaptasi novel Habiburrahman El Shirazy, Perempuan Berkalung Sorban pula merupakan karya novelis wanita, Abidah El Khalieqy.

Menerapkan elemen cinta dalam penceritaannya, tetapi ia lebih menekankan kepada tradisi kehidupan wanita di sekolah agama yang konservatif dalam zaman moden. Perempuan Berkalung Sorban menceritakan tentang Anissa (Revalina S. Temat), anak kepada seorang kiyai yang mengelola sebuah sekolah agama iaitu Salafiah Putri Al-Huda.

Sepanjang kehidupannya Anissa telah dididik bahawa seorang wanita perlu tunduk kepada lelaki sehingga dia beranggapan bahawa ajaran Islam sekadar membela golongan lelaki dan wanita pula berada dalam kedudukan yang rendah. Bagaimanapun, filem ini telah menimbulkan kontroversi kerana dianggap mempertikaikan cara kehidupan tradisi Islam yang masih dipraktikkan di kebanyakan sekolah agama di Indonesia.

Empat:Sang Pencerah (2010)

Sesuatu yang cukup menarik mengenai filem Sang Pencerah apabila ia adaptasi daripada kisah benar tentang K. H. Ahmad Dahlan atau Muhammad Darwis, seorang pengasas salah sebuah pertubuhan Islam terbesar Indonesia iaitu Muhammadiyah.

Selain digambarkan sebagai seorang yang membawa banyak pembaharuan serta bersikap lebih terbuka dan moden, Hanung turut memaparkan sisi peribadi Ahmad Dahlan yang kurang diketahui oleh orang ramai.

Kisahnya bermula apabila Darwis yang dilakonkan oleh Muhamad Ihsan Tarore telah menukar namanya kepada Ahmad Dahlan apabila pulang dari Mekah berasa risau dengan keadaan kampung halamannya apabila kebanyakan penduduk kampung terarah kepada ajaran sesat.

Dengan sebuah kompas, dia menunjukkan arah kiblat di Masjid Besar Kauman yang selama ini diyakini ke barat ternyata bukan menghadap ke Kaabah di Mekah, melainkan ke Afrika. Perkara tersebut membuatkan penghulu Masjid Agung Kauman, Kyai Cholil Kamaludiningrat (Slamet Rahardjo) menjadi marah. Ahmad Dahlan, pemuda yang sekadar lima tahun menimba ilmu di Kota Mekah, dianggap melanggar peraturan yang sudah berjalan selama beratus tahun.

Lima: Negeri 5 Menara (2012)

Berbanding dengan kebanyakan filem Islamik yang tidak dapat lari daripada elemen cinta, ia berlainan pula dengan filem berjudul Negeri 5 Menara yang ditayangkan pada tahun lalu.

Filem adaptasi daripada novel yang dihasilkan oleh Ahmad Fuadi itu lebih menekankan kepada elemen penceritaan tentang pendidikan dan kehidupan para pelajar di sekolah agama serta ikatan persahabatan.

Kisah dalam filem tersebut bermula tentang seorang pemuda, Alif (Gazza Zubizareta) yang ingin melanjutkan pelajarannya di Institut Teknologi Bandung setelah tamat sekolah menengah. Namun begitu, hasratnya tidak kesampaian apabila ibunya mahu dia menyambung pelajaran di sebuah sekolah agama yang dikenali sebagai Pondok Madani tanpa kerelaan hatinya.

Pada mulanya, dia agak kekok untuk menjalani kehidupan di situ, tetapi semuanya berubah apabila dia mula rapat dengan lima orang rakannya yang berasal dari negeri yang berbeza. Mereka sering belajar bersama di menara masjid sehingga menggelarkan diri sebagai Sahibul Menara. (Oleh CIPAN)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails