Thursday, May 30, 2013

Lagi, Masjid Dibakar Di Myanmar


SEBUAH masjid yang dibakar di Lashio semalam - AP

YANGON - Keganasan agama merebak ke kawasan baharu di Myanmar dengan sekumpulan penduduk membakar sebuah masjid dan rumah anak yatim penganut Islam di sebuah bandar di timur laut negara berkenaan, kata pihak berkuasa semalam.

Keganasan tersebut berlaku selepas khabar angin tersebar bahawa seorang lelaki Islam membakar seorang penganut Buddha wanita. Media tempatan melaporkan, tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kekacauan tersebut pada petang kelmarin di bandar Lashio, dekat sempadan China.

Setakat ini, jumlah kemusnahan dan angka kecederaan akibat keganasan tersebut juga tidak dipastikan. Keganasan berdarah antara orang Islam dan penganut Buddha bermula sejak tahun lalu di barat Myanmar sebelum merebak ke beberapa buah bandar di tengah negara itu. 

Insiden terbaharu itu meningkatkan kesangsian sama ada pentadbiran Presiden Thein Sein berupaya bertindak untuk mengekang keganasan di Myanmar.

"Merosakkan bangunan agama dan mencetuskan kekacauan agama adalah tidak wajar untuk masyarakat demokratik yang ingin kita pupuk," kata jurucakap Presiden, Ye Htut di laman Facebooknya.
"Sebarang perbuatan jenayah akan ditangani berlandaskan undang-undang negara," tambah kenyataan tersebut.

Stesen televisyen negara ini melaporkan tangkapan awal dibuat melibatkan lelaki berusia 48 tahun yang didakwa membakar seorang wanita beragama Buddha. Menurut laporan tersebut, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai berketurunan India yang beragama Islam mencurahkan minyak tanah ke atas mangsa sebelum membakarnya.

Wanita itu kini dirawat kerana melecur di dada, tangan dan belakang badannya. - Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails