Tuesday, May 28, 2013

Lampu Padam: T/Pengarah SPR Angkuh -Dr Mohd Hatta Ramli


KL: Tindakan Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang membuat penafian melulu terhadap dakwaan berlakunya 'lampu padam' di beberapa kawasan ketika pengiraan undi pada 5 Meli lalu, hanya memalukan bukan sahaja diri beliau malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri.

Bagi Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, tindakan Timbalan Pengerusi SPR itu hanya menunjukkan sikap angkuh beliau seperti tidak mahu mangakui wujudnya kepincangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

"Saya nak ingatkan beliau (Wan Ahmad), jangan cepat sangat buat penafian, selidik lah dahulu dakwaan-dakwaan yang di kemukakan.
"Jangan ambil sikap mudah anggap semua dakwaan dari rakyat ini sebagai fitnah, sekurang-kurangnya dengar dan selidik lah dahulu sebelum buat kenyataan balas," katanya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini beberapa pihak memuat naik sekeping gambar di internet mendakwa berlaku insiden lampu padam ketika proses pengiraan undi pada PRU13 lalu. Tidak berapa lama kemudian, Wan Ahmad tampil dengan kenyataannya bahawa gambar tersebut adalah fitnah.

Malah beliau dengan tegas mendakwa gambar itu hanya lakonan pihak tertentu yang dirakamkan sebelum PRU-13 lagi. Sehari selepas penafian Wan Ahmad itu, Adun PAS Seri Serdang Noor Hanim Ismail mengadakan sidang media mengatakan sememangnya insiden lampu padam itu berlaku di salah satu pusat mengundi di kawasannya.

Menurut Noor Hanim, kejadian itu berlaku pada 5 Mei lalu di Sekolah Kebangsaan Serdang, dan dirakam oleh ejen penjumlahan undi dari parti tersebut. Selain beliau, satu lagi bukti laporan polis turut ditampilkan ketua pasukan #SiasatPRU13 Rafizi Ramli dengan mendakwa insiden sama turut berlaku di Parlimen Kulim Bandar Baharu.
 
Hari ini pula, Wan Ahmad dengan nada berbeza membayangkan kenyataannya sebelum ini tidak tepat kerana penafian itu dibuat berdasarkan laporan 24 yang diterima selepas hari pengundian.

Katanya, pihak SPR telah menghubungi pegawainya, polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan dimaklumkan tiada laporan lampu padam diterima.

Mengulas lanjut, Mohd Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Kerai berkata, SPR jangan menganggap bahawa PRU13 kali ini paling 'perfect'. Sebaliknya segala dakwaan kepincangan serta bukti yang ditampilkan oleh rakyat harus didengar dan disiasat dengan baik. (Hrkh)

No comments:

Post a Comment