KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
Jumaat 3 Mei 2013/22 Jamadil Akhir 1434
“MANIFESTO PAKATAN RAKYAT ADALAH KOMITMEN IKHLAS KAMI”
1.Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersama rakan-rakan dalam gagasan Pakatan
Rakyat (PR) ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia berbagai agama, kaum
dan etnik, untuk menjadi pengundi yang bebas dan merdeka dengan
menjadikan peluang mengundi dalam PRU-13 ini sebagai saat penting dalam
sejarah Malaysia.
2.Lihatlah bahawa PR menawarkan
calon-calon yang lebih amanah dan berkelayakan, disamping lebih memahami
penat lelah rakyat yang menjadi warganegara Malaysia yang tercinta ini.
3.Rakyat Malaysia telah dihidangkan dengan manifesto PR yang menyentuh
pelbagai aspek. Semuanya telah dikaji dengan mendalam oleh pakar-pakar
ekonomi, sosial, masyarakat dan agamawan untuk menentukan ianya boleh
dan mampu dilaksanakan oleh kerajaan baru nanti.
4.Pimpinan UMNO/ BN mengatakan bahawa manifesto PR ini adalah mencabar
perlembagaan, karut dan hanya janji yang tidak boleh dilaksanakan.
Pimpinan UMNO/BN berfikir demikian kerana itulah cara kerja mereka
selama puluhan tahun ini, dengan memerah hasil negara melalui pengurusan
kewangan yang lemah, kos projek yang meningkat berganda, ketirisan dan
salah guna kuasa.
Bacalah dengan fikiran terbuka Laporan Global
Financial Integrity (GFI) (Illicit Financial Flows from Developing
Countries: 2000-2009 - Update with a Focus on Asia). Pengaliran wang
dari Malaysia ke luar bertambah tiga kali ganda dari USD 22.2 billion
pada tahun 2000 ke USD 68.2 billion pada 2008. Akhirnya Malaysia menjadi
negara ke tiga paling banyak berlaku pengaliran wang keluar selepas
China dan Mexico untuk tempoh 2001 – 2010. Itulah kepandaian pimpinan
UMNO/BN dalam menguruskan kewangan negara !.
5.Saya
juga ingin mengulangi komitmen bahawa pembayaran royalti petroleum 20%
kepada negeri-negeri pengeluar minyak iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan,
Terengganu dan termasuklah Pahang dan Johor boleh dilakukan, pengurangan
harga minyak, penghapusan tol, pemansuhan PTPTN, pendidikan percuma,
pengurangan tarif elektik kediaman; semuanya adalah BOLEH dan MAMPU
dilaksanakan oleh kerajaan PR sekiranya memerintah Malaysia nanti.
6.Peluang pekerjaan baru akan diwujudkan. Bagaimana?. Sektor pembuatan
dan perkhidmatan akan berkembang dengan lebih pesat apabila dipacu oleh
modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi, manakala gejala
rasuah dan ketirisan akan dibanteras ke akar umbinya serta menghalang
pengaliran wang haram ke luar negara. Ini semua mampu merancakkan
aktiviti pelaburan domestik seterusnya menjana lebih peluang pekerjaan
untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.
7.Kakitangan kerajaan sektor awam pula akan terus dijaga kepentingan
kebajikan dan imbuhan mereka. Kerajaan baru nanti tidak akan bertindak
mengugut dan memenjarakan fikiran kakitangannya dengan peraturan yang
menakutkan seperti dalam notis oleh Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan
Perdana Menteri. Lantaran itu, peruntukan undang-undang yang menekan
seperti AUKU akan dimansuhkan manakala reformasi institusi kehakiman dan
kamar peguam Negara, PDRM dan SPRM akan dilakukan.
8.Golongan wanita akan menikmati Caruman Wanita Malaysia oleh kerajaan dan
suami mereka mengikut kadar yang akan ditentukan. Pusat jagaan anak
anak di tempat kerja sektor kerajaan akan diwujudkan megikut
kesesuaiannya manakala di sektor swasta akan diberikan galakan menerusi
insentif kewangan dan percukaian.
Berdirilah dengan bangga,
yakin dan jiwa merdeka, dengan tanpa ragu-ragu untuk mengundi
parti-parti dalam Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP dalam PRU-13 ini.
MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN
PAKATAN HARAPAN RAKYAT
ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS
No comments:
Post a Comment