Friday, May 03, 2013

Presiden PAS: Berdirilah Dengan Bangga, Yakin & Jiwa Merdeka..

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
Jumaat 3 Mei 2013/22 Jamadil Akhir 1434


“MANIFESTO PAKATAN RAKYAT ADALAH KOMITMEN IKHLAS KAMI”


1.Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersama rakan-rakan dalam gagasan Pakatan Rakyat (PR) ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia berbagai agama, kaum dan etnik, untuk menjadi pengundi yang bebas dan merdeka dengan menjadikan peluang mengundi dalam PRU-13 ini sebagai saat penting dalam sejarah Malaysia.


2.Lihatlah bahawa PR menawarkan calon-calon yang lebih amanah dan berkelayakan, disamping lebih memahami penat lelah rakyat yang menjadi warganegara Malaysia yang tercinta ini.


3.Rakyat Malaysia telah dihidangkan dengan manifesto PR yang menyentuh pelbagai aspek. Semuanya telah dikaji dengan mendalam oleh pakar-pakar ekonomi, sosial, masyarakat dan agamawan untuk menentukan ianya boleh dan mampu dilaksanakan oleh kerajaan baru nanti.


4.Pimpinan UMNO/ BN mengatakan bahawa manifesto PR ini adalah mencabar perlembagaan, karut dan hanya janji yang tidak boleh dilaksanakan. Pimpinan UMNO/BN berfikir demikian kerana itulah cara kerja mereka selama puluhan tahun ini, dengan memerah hasil negara melalui pengurusan kewangan yang lemah, kos projek yang meningkat berganda, ketirisan dan salah guna kuasa.  


Bacalah dengan fikiran terbuka Laporan Global Financial Integrity (GFI) (Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2000-2009 - Update with a Focus on Asia). Pengaliran wang dari Malaysia ke luar bertambah tiga kali ganda dari USD 22.2 billion pada tahun 2000 ke USD 68.2 billion pada 2008. Akhirnya Malaysia menjadi negara ke tiga paling banyak berlaku pengaliran wang keluar selepas China dan Mexico untuk tempoh 2001 – 2010. Itulah kepandaian pimpinan UMNO/BN dalam menguruskan kewangan negara !.

5.Saya juga ingin mengulangi komitmen bahawa pembayaran royalti petroleum 20% kepada  negeri-negeri pengeluar minyak iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan termasuklah Pahang dan Johor boleh dilakukan, pengurangan harga minyak, penghapusan tol, pemansuhan PTPTN, pendidikan percuma, pengurangan tarif elektik kediaman; semuanya adalah BOLEH dan MAMPU dilaksanakan oleh kerajaan PR sekiranya memerintah Malaysia nanti.


6.Peluang pekerjaan baru akan diwujudkan. Bagaimana?. Sektor pembuatan dan  perkhidmatan akan berkembang dengan lebih pesat apabila dipacu oleh modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi, manakala gejala rasuah dan ketirisan akan dibanteras ke akar umbinya serta menghalang pengaliran wang haram ke luar negara. Ini semua mampu merancakkan aktiviti pelaburan domestik seterusnya menjana lebih peluang pekerjaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.


7.Kakitangan kerajaan sektor awam pula akan terus dijaga kepentingan kebajikan dan imbuhan mereka. Kerajaan baru nanti tidak akan bertindak mengugut dan memenjarakan fikiran kakitangannya dengan peraturan yang menakutkan seperti dalam notis oleh Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri. Lantaran itu, peruntukan undang-undang yang menekan seperti AUKU akan dimansuhkan manakala reformasi institusi kehakiman dan kamar peguam Negara, PDRM dan SPRM akan dilakukan.


8.Golongan wanita akan menikmati Caruman Wanita Malaysia oleh kerajaan dan suami mereka mengikut kadar yang akan ditentukan. Pusat jagaan anak anak di tempat kerja sektor kerajaan akan diwujudkan megikut kesesuaiannya manakala di sektor swasta akan diberikan galakan menerusi insentif kewangan dan percukaian.


Berdirilah dengan bangga, yakin dan jiwa merdeka, dengan tanpa ragu-ragu untuk mengundi parti-parti dalam Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP dalam PRU-13 ini.


MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN


PAKATAN HARAPAN RAKYAT


ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

No comments:

Post a Comment