Friday, May 03, 2013

Takbir Bergema, Ya Allah Hancurkan P/Hantu. Siapsedia, Gempur!!


Tuan Guru Nik Aziz membaca doa selepas mengimamkan solat Subuh
KOTA BHARU: Laungan takbir bergema berkali-kali  di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV awal pagi ini bagi menghalau pengundi hantu yang cuba merosakkan sistem demokrasi di negara ini. Puluhan ribu rakyat Kelantan yang datang seawal jam 3 pagi mengangkat tangan ke langit mengaminkan bacaan doa dibaca  anggota jawatankuasa Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Abdul Aziz.

Biar pun keadaan padang agak lembab akibat hujan pada tengah malam tadi, namun ia tidak menghalang rakyat bersesak-sesak di dalam  stadium  bagi memohon dihancurkan mereka yang bergelar pengundi hantu.

Ketika orang lain sedang nyenyak dibuai mimpi namun puluhan ribu rakyat datang dengan satu misi mahu menghalau pengundi hantu yang cuba merosakkan demokrasi di negara ini.

“Kita memohon kepada Allah Taala yang mempunyai kuasa di langit dan bumi supaya menghancurkan pengundi hantu yang dibawa masuk ke negara ini. Dipanjatkan kepada Ilahi supaya dimakbulkan perjuangan rakyat Malaysia untuk mewujudkan sebuah kerajaan baru di Putrajaya 5 Mei ini.
“Kita juga memohon kepada Tuhan supaya proses piilihan raya umum kali ke-13 yang akan berlangsung Ahad ini dapat dijalankan dengan teratur, telus dan lancar,” katanya ketika berdoa selepas solat hajat.

Sebelum itu munajat dan solat tahajut yang diketuai Ustaz Hafizi Ramli Al Hafiz. Solat witir tiga rakaat juga diimamkan Ustaz Nik Razi. Solat Subuh pula diimamkan Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan,  Datuk Mohamed Daud.

Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz  Nik Mat memberitahu beliau agak terlewat datang disebabkan keuzuran dan terperangkap dengan kesesakan lalu lintas di jalan menuju ke stadium biar pun sebelum jam 5 pagi.

“Saya tumpang tuah rakyat Kelantan yang sanggup datang awal lagi dengan meninggalkan tidur dan rehat di rumah  semata-mata mahu munajat kepada Allah bagi memberi kemenangan kepada perjuangan menegakkan Islam.
“Kefahaman terhadap agama tidak diajar oleh fahaman kebangsaan. Kerajaan kena  mendidik rakyat bagi mendekatkan diri dengan agama. Kalau tidak mampu mendidik rakyat dengan agama buat apa hendak jadi kerajaan,” katanya pada kuliah Subuh.

Menurutnya juga proses pilihan raya yang akan berlangsung pada Ahad ini seumpama projek tanam semula bagi pekebun untuk menukar pokok yang sudah tua.

Katanya begitu juga bagi sistem demokrasi, pilihan raya diadakan antara empat dan lima tahun sekali.

“Kita perlu ingat bagi melantik kerajaan baru hendaklah dipilih kerajaan yang mampu memberi didikan dan mendaulatkan agama. Oleh itu  saya meminta rakyat Kelantan sama ada Cina, India dan Melayu serta  penyokong Umno turut menyokong mengundi PAS pada Ahad ini.
“Penyokong Umno hendak kekal dalam Umno itu hak mereka, tetapi hendaklah gunakan peluang mengundi pada 5 Mei ini bagi memilih PAS dan Pakatan Rakyat kerana terbukti kami ada kesungguhan menjaga agama,”  ujarnya.

Menurutnya PAS mengubah minda rakyat menggunakan ilmu agama dan bukannya wang ringgit. Kata beliau PAS tidak menggunakan duit bagi menarik sokongan rakyat, sebaliknya orang ramai pula menderma kepada PAS sebagai sumbangan kepada perjuangan Islam. 


Oleh itu beliau berpesan pada hari mengundi ini hendaklah solat sunat dua rakaat sebelum keluar mengundi dan membetulkan niat undi bagi mendaulatkan agama  Allah. Menurutnya juga ketika musim kempen sekarang bermacam-macam tomahan dan tuduhan dilemparkan pihak lawan terhadap PAS dan Pakatan Rakyat, namun rakyat sudah sedar dengan apa yang sebenar berlaku.

“Kalau ada yang bagi duit, ambil, bagi gula kacau, bagi kain pakai. Tetapi ingat ketika mengundi nanti hendaklah pilih PAS dan Pakatan Rakyat,”  tambahnya.

Program tersebut berakhir dengan solat sunat Dhuha Hadir sama Timbalan Besar, Datuk Ahmad Yakub, anggota-anggota Exco dan calon-calon yang bertanding. (Hrkh)


Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Setelah berdoa, siapsedia, hadapi segala kemungkinan untuk terus gempur pengundi hantu!! Allahu Akbar! Allahu Akbar!! Allahu Akbar!!!

Klik untuk saksikan video.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails