Tuesday, May 07, 2013

Teruskan Misi, Wujudkan ‘Ta’aawun’ & Syura -MB K'tan Baru

Sultan Muhammad V bergamabr dengan saf kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan selepas istiadat mengangkat sumpah, petang semalam.

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengampuni perkenan perlantikan Datuk Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar yang baru menggantikan Datuk Bentara Setia Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Upacara majlis Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Taat Setia Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan itu berlangsung di Istana Negeri, Kubang Kerian dekat sini petang semalam, di hadapan Sultan Muhamamd V.

Ahmad berkata beliau dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang baru dilantik akan meneruskan misi dan visi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam memacu pemerintahan dan pembangunan negeri.

Selain mengekalkan beberapa Exco sesis lepas, Exco baru dilantik terdiri dari Datuk Mohd Nassuruddin Daud (mantan Speaker Dewan Negeri Kelantan), manakala muka baru dilantik Hanipa Ahmad (Adun Pengkalan Pasir), Dr Ramli Mamat (Adun Bunut Payong) serta pengamal undang-undang Mumtaz Md Nawi (Adun Demit).

Turut hadir pada majlis itu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammd Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Ahmad Yakob yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata dengan tanggungjawab jawatan sebagai Menteri Besar yang baru itu bermakna beliau bersama saf kepimpinan yang ada akan  meneruskan visi dan misi Tok Guru.

Kepimpinan negeri, kata Ahmad, mewujudkan dasar ‘ta’aawun’ dan syura dalam hal ehwal pengurusan membuat dasar negeri, berteraskan (dasar) Membangun Bersama Islam.

“Ini termasuklah melaksanakan tawaran pada PRU-13 yang lalu berasaskan kepada (konsep)  Keberkatan; Kemakmuran dan Kebajikan.

“Ya, sememang itulah. Namun dengan keupayaan yang ada pada sahabat-sahabat Exco, mungkin kita buat pembaharuan," ujarnya yang juga Adun Pasir Pekan.
 Tok Guru Nik Aziz bersama saf exco yang baru.

Ditanya sama ada ‘pengunduran’ Tuan Guru daripada jawatan Menteri Besar itu mungkin mengejutkan ramai orang terutama rakyat Kelantan, Ahmad berkata  ianya bukan saja ‘mengejutkan’ rakyat Kelantan, bahkan beliau juga terkejut atas permintaan Tuan Guru itu, namun telah pun direstui pimpinan PAS Pusat.

“Bagaimana pun, sebagai Menteri Besar baru diamanahkan, tanggungjawab ini dilihat bukan sebagai  ‘tasyrif’ tetapi adalah ‘taklif’,” kata Ahmad.

Ahmad berkata beliau dan kepimpinan negeri akan berbincang bagaimana memenuhi kehendak rakyat terutama anak-anak muda khususnya yang memahami Islam itu sebagai  suatu ‘ad-din’,  dicernakan kepimpinan  Tuan Guru sejak 23 tahun lalu.

Mengenai kesan kepada PAS Kelantan ekoran ‘pengunduran’  Tuan Guru itu, Ahmad berkata pada hakikatnya PAS Kelantan menerima perubahan tersebut.

“Kita masih memerlukan Tuan Guru (terus menjadi Meneri Besar), namun   hakikatnya terutama sejak akhir-akhir ini Tuan Guru sentiasa uzur, selain faktor usia,” ujar Ahmad.

Pada Pilihan Raya Umum ketiga belas 5 Mei  lalu, PAS Kelantan memenangi 33 daripada 45 kerusi dengan mengekalkan majoriti 2/3, justeru membentuk kerajaan negeri. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails