Tahniah buat semua yang telah menjalankan
tanggungjawab dalam PRU-13. Kempen sudah, mengundi pun sudah. Ikhtiar
telah kita jalankan. Ada kebaikan buat kita, in shaa’ ALLAH. Dan
ketentuan ALLAH lah mengatasi segalanya.
قدر الله و ما شاء فعل
ALLAH telah mentaqdirkan segala sesuatu dan DIA perbuat apa yang DIA kehendaki.
Pasti ada ibrah dan hikmah besar untuk
kita fikiri dan teladani. Syukurlah ada juga berita gembira yang dapat
kita dengar. Dan sabarlah walaupun banyak juga berita tak sedap kita
dengar. Kerana syukur dan sabar itu sentiasa memberikan kebaikan buat
seorang mukmin. Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan radhiAllahu `anhu
berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda
yang maksudnya:
- “Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu. Kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman, di mana apabila ia mendapat kesenangan ia bersyukur, maka demikian itu sangat baik baginya. Dan apabila ia ditimpa kesusahan, ia sabar, maka yang demikian itu sangat baik baginya.”
(HR Muslim)
Episod PRU-13 sudah hampir menutup
tirainya. Ayuh kita muhasabah diri kita semua. Saya banyak benda nak
muhasabah. Kadang-kadang apabila berlaku benda yang pahit untuk ditelan,
ia makin merapatkan diri kita kepada ALLAH, makin mengenali hakikat
kehidupan dan makin menguatkan cinta kita kepada Hari Akhirat dan
Syurga.
Eratkanlah kembali persaudaraan yang
mungkin ada tercalit kebencian sepanjang PRU-13. Jadikanlah diri kita
sebagai pendamai dan penyeru kebaikan. Jadikanlah diri kita sebagai
muslim yang lebih baik.
ALLAH melihat gembira dan sedih kita. DIA
memerhati semua perilaku kita. Malaikat pula mencatit semuanya tanpa
cuai. Menang atau kalah ukurannya di Akhirat nanti.
حسبى الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة الا بالله
Cukuplah bagiku ALLAH sebaik-baik diserahkan semua urusan. Dan tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan kehendak ALLAH.
سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لا اله الا انت استغفرك واتوب اليك
Maha Suci ENGKAU ya ALLAH dan segala
pujian buatMU. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain ENGKAU. Aku
memohon keampunanMU dan aku bertaubat kepadaMU.
Teruskan berjuang sampai berjumpa ALLAH!
No comments:
Post a Comment