Friday, May 17, 2013

Tutup Tirai PRU-13

Mujahadah
Mujahadah
Tahniah buat semua yang telah menjalankan tanggungjawab dalam PRU-13.  Kempen sudah, mengundi pun sudah. Ikhtiar telah kita jalankan.  Ada kebaikan buat kita, in shaa’ ALLAH.  Dan ketentuan ALLAH lah mengatasi segalanya.

قدر الله و ما شاء فعل

ALLAH telah mentaqdirkan segala sesuatu dan DIA perbuat apa yang DIA kehendaki.
Pasti ada ibrah dan hikmah besar untuk kita fikiri dan teladani.  Syukurlah ada juga berita gembira yang dapat kita dengar.  Dan sabarlah walaupun banyak juga berita tak sedap kita dengar.  Kerana syukur dan sabar itu sentiasa memberikan kebaikan buat seorang mukmin.  Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda yang maksudnya: 
  • “Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu.  Kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman, di mana apabila ia mendapat kesenangan ia bersyukur, maka demikian itu sangat baik baginya. Dan apabila ia ditimpa kesusahan, ia sabar, maka yang demikian itu sangat baik baginya.”
(HR Muslim)
Episod PRU-13 sudah hampir menutup tirainya. Ayuh kita muhasabah diri kita semua. Saya banyak benda nak muhasabah. Kadang-kadang apabila berlaku benda yang pahit untuk ditelan, ia makin merapatkan diri kita kepada ALLAH, makin mengenali hakikat kehidupan dan makin menguatkan cinta kita kepada Hari Akhirat dan Syurga.

Eratkanlah kembali persaudaraan yang mungkin ada tercalit kebencian sepanjang PRU-13. Jadikanlah diri kita sebagai pendamai dan penyeru kebaikan. Jadikanlah diri kita sebagai muslim yang lebih baik.

ALLAH melihat gembira dan sedih kita. DIA memerhati semua perilaku kita. Malaikat pula mencatit semuanya tanpa cuai. Menang atau kalah ukurannya di Akhirat nanti.

حسبى الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة الا بالله

Cukuplah bagiku ALLAH sebaik-baik diserahkan semua urusan.  Dan tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan kehendak ALLAH.

سبحانك اللهم وبحمدك اشهد ان لا اله الا انت استغفرك واتوب اليك

Maha Suci ENGKAU ya ALLAH dan segala pujian buatMU. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain ENGKAU. Aku memohon keampunanMU dan aku bertaubat kepadaMU.

Teruskan berjuang sampai berjumpa ALLAH!

No comments:

Post a Comment