Friday, June 14, 2013

Bantah Kekejaman Tentera Syria Terhadap Rakyat..


KL: Lebih 1,000 umat Islam hari ini berarak dan berhimpun di hadapan kedutaan Syria, Kuala Lumpur bagi membantah kekejaman tentera regim Bashar Assad terhadap rakyat negara itu. Bantahan anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia itu turut disertai wakil NGO Islam serta hak asasi manusia yang turut sama membantah kekejaman berterusan di negara bergolak itu.

Antaranya, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), NGO Muslim Care serta Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis). Mengetuai bantahan itu Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasrudin Hassan, Timbalannya Nik Mohd Abduh Nik Aziz, Ketua Penerangan Pemuda Riduan Mohd Nor dan pimpinan serta exco dewan itu yang lain.

Sebelum itu, mereka berarak hampir dua kilometer dari Masjid Tabung Haji menuju ke bangunan kedutaan sejurus selesai solat Jumaat bagi menunjukkan solidariti kepada rakyat Syria.. Biarpun cuaca ada ketikanya panas, para peserta himpunan aman itu tidak berganjak sementara menunggu enam wakil selesai menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan Syria.

Malah, turut kelihatan menyertai himpunan solidariti itu juga bukan hanya di kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga beberapa rakyat Syria ada ketikanya mendominasi perhimpunan dengan slogan perjuangan mereka. Sementara itu, pada sidang media yang diadakan sejurus selesai urusan penyerahan memorandum, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan berkata kesal dengan tindakan kedutaan Syria yang enggan menerima memorandum yang diserahkan mereka.

Malah, delegasi mereka juga tidak dibenarkan masuk.

"Memorandum ini antara lainnya membantah kekejaman yang dilakukan kerajaan Syria terhadap penduduknya hampir tiga tahun.  Kita juga tidak mendapat satu sumber maklumat yang jelas tentang apa yang sebenarnya berlaku di Syria. Malangnya, kita tidak dapat bertemu pada hari ini untuk emndapatkan gambaran sebenar.
"Tapi apa yang penting, banyak campur tangan dari kerajaan luar yang menyebabkan rakyat makin tertindas dan akhirnya menjadi pelarian. Justeru, kerajaan Syria perlu menolak campur tangan asing yang tidak membantu ke arah pendamain dan keamanan negara itu," tegas beliau.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Rahman, berkata tindakan kedutaan Syria yang enggan menerima memorandum bantahan itu menunjukkan sikap tidak demokratik negara itu dalam menangani isu sensitiviti semua pihak membabitkan rakyatnya sendiri.

Katanya, ia berbeza dengan sikap yang ditunjukkan kedutaan Turki di Malaysia yang turut menerima memorandum daripada delegasi berhubung pembinaan Taman Gezi, di Istanbul yang mewujudkan konflik di kalangan rakyat yang menyebabkan ribuan rakyat mengadakan protes ke jalan raya.

Tegas Amidi, berdasarkan pertemuan dengan wakil Turki tadi, delegasi itu dimaklumkan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, bertindak menemui para demonstran dan kemudiannya memulangkan isu taman tersebut ke mahkamah bagi memutuskan sama ada taman itu boleh dibina atau sebaliknya.

"Kami memuji sikap Perdana Menteri Turki yang sanggup turun berbincang dengan demonstran, bukan hanya mengadakan pembantaian semata-mata.  Sayangnya, ia tidak berlaku di kedutaan Syria yang bukan sahaja tidak mahu menerima memorandum kami, tetapi tidak membenarkan kami masuk ke kedutaan," tegas beliau.

Sementara itu, peserta himpunan bersurai kira-kira jam 3.35 petang tadi dengan suasana aman. (Hrkh)

1 comment:

Anonymous said...

kalau betul turki membantu pejuang islam di Syria..
sila baca akhbar ini...
http://www.hurriyetdailynews.com/israels-mossad-chief-meets-head-of-turkish-intelligence.aspx?pageID=238&nID=48656&NewsCatID=341

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails