Tuesday, June 11, 2013

Hina Nabi: Mereka Bantah Facebook Calvin Gani & Rakyat Anarki..

SEBAHAGIAN daripada gabungan 15 NGO Melayu Islam menunjukkan salinan laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang menghina Nabi Muhammad SAW di Kuala Lumpur semalam. 


KL - Perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW terutamanya melalui media sosial adalah perbuatan biadap dan individu terbabit perlu dikenakan tindakan sewajarnya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perbuatan itu perlu segera dibendung kerana ia boleh mencetuskan kemarahan umat Islam selain boleh menggugat keharmonian antara agama.

Menurut beliau, para penulis media sosial baharu perlu bertanggungjawab atas setiap apa yang ditulis apabila ia menimbulkan ketegangan serta menyinggung agama yang dianuti masyarakat dalam negara.

"Penulis media sosial yang sewenang-wenangnya menggunakan medium itu untuk tidak menghormati agama lain perlu menerima risiko tindakan undang-undang yang bakal dikenakan," katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2013 di Wangsa Walk di sini semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Zainal Abidin Jaffar.

Jamil Khir berkata demikian sebagai mengulas isu dua akaun laman sosial Facebook yang menggunakan nama Calvin Gani dan Rakyat Anarki mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini apabila memaparkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW. (Kosmo)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Memang menghina Allah SWT, Rasul SWT dan Islam, tidak boleh dimaafkan. Orang Islam yang mengatakan Islam dan perundangannya  tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia, adakah tidak menghinakan  Islam, Allah dan Rasul?  Boleh pula luah perasaan melalui demontrasi jalanan?

No comments:

Post a Comment