Oleh Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang penganalisis
politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling seperti yang tersiar di dalam Sinar
Harian hari ini 20 Jun 2013. Saya kira kenyataan yang dikeluarkan sangat
tidak terawang-awang dan tidak berpijak di bumi nyata. Nampaknya
pandangan karut ini cuba untuk disebarkan atas nama akademik kononnya,
padahal jelas nampak kepentingan UMNO timbul di permukaan air.
Di dalam kenyataannya itu, beliau mencadangkan agar PAS bergabung
dengan UMNO untuk memperjuangkan Islam. Ini kerana parti-parti yang ada
di sekeliling PAS semuanya mengkhianati Islam. Hanya UMNO sahaja yang
memperjuangkan Islam.
Pada saya, kenyataan ini sangatlah tidak berasas. Jika umpama
dahan pokok untuk berpaut, profesor ini nyata sekali sedang bergayut di
dahan yang rapuh. Barangkali kerana bimbang jatuh ke tanah digigit
semut, terus menerus tangan memeluk dahan yang menunggu masa untuk
tersemban. Lambat laun sebenarnya dahan ini akan jatuh jua.
Amatlah lucu sekali apabila beliau menyatakan bahawa hanya UMNO
yang memperjuangkan Islam. Barangkali langkah UMNO membenarkan premis
judi di Kelantan sebelum tahun 1990 dahulu salah satu daripada
perjuangan Islam menurut kacamata 'orang cerdik pandai' ini?
Di Melaka, pernah seorang Ketua Menteri yang merupakan pimpinan
tertinggi UMNO mencadangkan agar pusat hiburan dilanjutkan masa
pembukaannya sehingga ke awal pagi, inipun juga barangkali perjuangan
untuk menegakkan Islam. Itu belum dicampur kenyataan-kenyataan yang
menghina Islam yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini.
Semuanya termaktub di dalam lipatan sejarah dan generasi kita tidak
buta untuk membaca semula catitan ini.
Saya ingin bertanya, jika sekarang mahu mengajak PAS bersatu
dengan UMNO, apa lebihnya UMNO berbanding dengan PAS dalam hal
memperjuangkan Islam?
Sewaktu pemimpin parti komponen Barisan Nasional menghina seorang
wakil rakyat UMNO di Johor yang mencadangkan hudud dengan label 'hilang
akal', di mana pemimpin UMNO menyembunyikan diri? Jika lebihnya UMNO
ialah kerana bilangan kerusi, saya suka mencadangkan agar ADUN UMNO di
Kelantan menyertai PAS kerana bilangan kerusi yang dimiliki oleh PAS di
Kelantan lebih banyak jauh mengatasi UMNO!
Jika UMNO memperjuangkan Melayu, kenapa Kelantan dinafikan hak
ke atas royalti minyak dalam keadaan majoriti rakyat Kelantan berbangsa
Melayu dan beragama Islam? Kenapa UMNO memainkan peranan untuk menyekat
pembangunan ke Kelantan dan ini diakui sendiri Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Kelantan satu ketika dahulu? Apakah perkataan yang
lebih tepat untuk menggambarkan sikap seperti ini selain daripada
pengkhianat?
Pada saya, Islam yang dibawa oleh UMNO ialah Islam celup. Selagi
dasar yang menjadi tunjang perjuangan UMNO ialah kebangsaan, tiada
apa-apa nilai terhadap gerak laku UMNO sekalipun nampak seolah-olah ia
pro-Islam. Di zaman Rasulullah SAW, masjid Dhirar diperintahkan untuk
diruntuhkan sekalipun ia sebuah masjid kerana ia didirikan bukan di atas
semangat Islam yang sebenar.
Kerana itu, saya tetap berpendirian, PAS tidak akan bersama-sama
UMNO selagi UMNO tidak menukar dasar. Berhentilah menjadi pungguk yang
rindukan bulan. Saban malam merenung bulan sambil memanggil-manggil,
mahu terbang sayap kecil, mahu biarkan sahaja, hati pula tidak sanggup
melihat bulan dipagar bintang. Akhirnya si pungguk hanya mampu berbuat
bising!
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh: 11 Syaaban 1434H bersamaan 20 Jun 2013M
No comments:
Post a Comment