Polis siasat dakwaan Malaysia pusat edar steroid
KUALA LUMPUR - Polis sedang menyiasat laporan sebuah portal berita
antarabangsa yang mendakwa Malaysia antara negara yang dijadikan pusat
pengedaran steroid oleh sindiket dadah antarabangsa yang menjalankan
operasi secara atas talian.
Timbalan Pengarah 1 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk
Haris Wong Abdullah berkata dakwaan portal berita berkenaan akan
diteliti serta disiasat sebelum sebarang tindakan diambil.
"Polis kini sedang memantau mana-mana sindiket dadah antarabangsa yang
cuba menjadikan Malaysia sebagai pusat pengedaran dadah," katanya ketika
dihubungi Bernama hari ini.
Portal berita berkenaan mendedahkan Malaysia turut dijadikan pusat
pengiklanan steroid itu melalui penubuhan ratusan laman web yang
dikendalikan sebuah syarikat tempatan.
Haris berkata pihaknya kini sedang meneliti beberapa maklumat yang
didedahkan portal berita berkenaan dan tidak menolak kemungkinan akan
melakukan kerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) selepas dakwaan
tersebut dapat dibuktikan kesahihannya.
Beliau menjelaskan pihaknya sentiasa melakukan pemantauan termasuk dari
sudut risikan dan operasi terhadap mana-mana sindiket dadah
antarabangsa yang cuba menjadikan negara ini sebagai pusat pengoperasian
mereka. - Bernama
No comments:
Post a Comment