▼
Saturday, June 15, 2013
Pendidikan Negara Jadikan Pelajar 'Robot'
SHAH ALAM - Kesilapan dalam mendidik akan menyebabkan pelajar yang dilahirkan tidak ubah seperti 'robot' dan bukannya modal insan sejati.
Penulis buku best seller 'Aku Terima Nikahnya', Hasrizal Jamil mendakwa, sistem pendidikan negara ketika ini seolah-olah hendak menjadikan anak-anak sekarang sebagai robot.
"Minda mereka telah kita tetapkan dengan peraturan yang ketat.
"Sedangkan kita sepatutnya mencorakkan mereka atas apa yang kita mahu mereka jadi, bukannya atas kehendak mereka sendiri," katanya ketika menjadi panel Forum Pedagogi Pendidikan Cinta anjuran sukarelawan Teach For The Needs (TFTN) di Kompleks Karangkraf, di sini, malam tadi.
Forum itu turut menampilkan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik dan Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi, Dr Harlina Siraj manakala moderatornya, Pengarah Eksekutif TFTN, Anas Alam Faizli.
Sementara itu, Hasrizal berkata, sistem pendidikan adalah berkait rapat dengan nilai kemanusiaan dan kasih sayang. Jelas beliau, gabungan dua komponen ini akan menjadikan masyarakat lebih berjaya di dalam kehidupan mereka.
"Dengan adanya penerapan nilai kasih sayang, Insya-ALLAH pendidikan yang diberikan kepada seseorang itu akan berjaya," katanya.
Tambah beliau lagi, kegagalan sistem pendidikan kita sekarang adalah kerana terlalu bergantung kepada sudut pandang manusia iaitu terlalu mengejar statistik, data-data, sasaran Kementerian Pendidikan sehingga mengenetepikan nilai kasih sayang yang perlu ada dalam sistem pendidikan.
"Lihatlah, sistem pendidikan kita sekarang, sekolah terlalu mengejar kedudukan sehingga pelajar hilang perasaan cinta terhadap pendidikan, kerana rasa bebanan atas apa yang dikenakan ke atas mereka sepanjang mereka berada di sekolah," katanya.
Sehubungan itu, bagi mengatasi perkara ini, Hasrizal mencadangan supaya skop dimensi pandangan masyarakat, ibu bapa, kerajaan, pembuat dasar, supaya menyelitkan nilai kasih sayang di dalam sistem pendidikan negara perlu diubah.
"Mereka yang terlibat perlu memainkan peranan ini, supaya tiada lagi keciciran yang berlaku terhadap anak-anak kita," katanya.
Dalam pada itu, forum yang berlangsung malam tadi berjaya menarik minat ramai golongan muda untuk mendengar kupasan mengenai apa erti cinta dalam bidang pendidikan. Rata-rata peserta yang hadir adalah daripada golongan muda dan mahasiswa. (SH)
No comments:
Post a Comment