KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat memutuskan untuk mencalonkan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Keputusan tersebut diputuskan pada mesyuarat mingguan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan demikian pada sidang media, percaya langkah itu sejajar dengan peningkatan bilangan komposisi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan akan meningkatkan lagi kualiti amalan demokrasi di negara ini.
"Pada mesyuarat tadi kita telah memutuskan untuk mencalonkan Ahli Parlimen Tumpat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi sesi kali ini.
"Kita berharap bagi membantu Yang Dipertua dalam urusan mengendalikan persidangan seorang timbalan hendaklan dipilih dari kalangan seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat," jelasnya.
Dalam pada itu beliau mengulangi Pakatan Rakyat juga turut bersetuju untuk menamakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua bagi Parlimen Ketiga Belas.
Menurutnya surat cadangan bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu telah dihantar oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 10 Jun lalu.
"Bagi memantapkan lagi proses demokrasi negara ini dan memastikan perbahasan di Dewan Rakyat berlangsung dengan telus dan adil, Pakatan Rakyat mencadangkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Yang Dipertua.
"Cadangan ini apabila kita melihat ketelusan beliau yang tidak memihak dengan mana-mana politik atau pihak dan kami yakin beliau dapat menjalankan tugas dengan baik pada persidangan kali ini," sambungnya.
Anwar berkata, Pakatan Rakyat menegaskan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat mesti dilantik dari kalangan seorang yang bebas, berkecuali tanpa parti, berwibawa dan berkelayakan untuk berkhidmat. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment