KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menyifatkan
kenyataan Perdana Menteri mahu meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) di bawah Jawatankuasa Khas Parlimen adalah bukti SPR sangat
pincang sebelum ini.
Berikut adalah kenyataan penuh Mursyidul Am PAS.
Matahari Tegak dan UMNO Baru Terjaga
Saya
membaca laporan muka hadapan Sinar Harian hari ini yang memuatkan
pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia bahawa kerajaan telah memutuskan
untuk memindahkan kawal selia dan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
kepada satu Jawatankuasa Khas Parlimen yang bebas dan dwipartisan
dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
Khabarnya ini bertujuan untuk memperkukuh kewibawaan dan kredibiliti badan pelaksana pilihan raya negara.
Saya
memetik kata-kata Datuk Seri Najib yang antara lain menyatakan bahawa
langkah ini bagi memastikan peranan suruhanjaya itu sebagai badan bebas
tidak lagi dipersoalkan, sekali gus mengukuhkan keyakinan rakyat
terhadap peranannya mengadakan pilihan raya secara telus dan lancar.
Pada
saya, ini sebenarnya tidak lain hanyalah sebesar-besar bukti bahawa
proses perjalanan pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR sangat pincang.
Inilah yang saya tegaskan kepada para wartawan yang bergegas ke
rumah saya meminta ulasan di atas pengumuman Perdana Menteri itu.
Jika
sebelum ini, ada pemimpin Umno yang mencadangkan agar sesiapa yang
tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihanraya boleh keluar dari bumi
Malaysia, di mana agaknya wajahnya ingin diletakkan dengan pengumuman
Presiden Umno itu sendiri?
Saya ingatkan, jangan sesekali memperlekeh pandangan pandangan rakyat marhaen.
Jika
dahulu pemecatan Tun Salleh Abbas daripada jawatannya selaku Ketua
Hakim Negara turut dipertikai oleh rakyat jelata tetapi kerajaan
bermati-matian mempertahankan pemecatan tersebut.
Alih-alih
apabila teraju pemerintahan negara diambil alih oleh orang lain, Tun
Salleh Abbas tidak semena-mena menerima pampasan daripada 'kesilapan
kerajaan'. Siapa yang kata kerajaan tidak pernah silap?
Hari ini dengan pelbagai persepsi masyarakat terhadap SPR, sewajarnya kerajaan mengakui sahaja kesilapan.
Isu
dakwat kekal yang bertukar menjadi tidak kekal dan senarai yang tidak
bersih memperlihatkan seolah-olah kerajaan hari ini berdiri di atas
mandat yang tidak betul.
Itu belum lagi dicampur isu undi awal yang jelas sekali prosesnya benar-benar menguntungkan Barisan Nasional.
Benar
sangatlah reaksi langsung daripada rakyat di seluruh negara yang
bangkit beramai-ramai menuntut pembersihan di dalam pilihanraya. Perlu
diingatkan, PAS bukan tidak pernah kalah di dalam pilihanraya, bahkan
PAS lebih banyak kalah daripada menang.
Namun dalam masa yang
sama, PAS tidak boleh menerima penipuan di dalam pilihanraya. Ingatlah,
amanah yang diperolehi daripada jalan yang haram hanya menjadi beban
yang sangat berat untuk ditanggung di akhirat kelak!
Saya fikir
mustahil Barisan Nasional ingin menurut jejak langkah rejim Hosni
Mubarak di Mesir yang menang hampir seratus peratus di dalam pilihanraya
tetapi akhirnya kecundang di jalan raya.
Dengarlah suara hati rakyat. SPR wajar dirombak, perbetulkan kembali sistem pilihanraya.
Sayangnya,
Umno lambat sedar. Dalam pada rakyat bangkit beramai-ramai
mempersoalkan kredibiliti SPR, ada pemimpin Umno masih bermain madah
pujangga menegakkan benang yang basah.
Jika umpama orang yang tidur, Umno hanya terjaga ketika matahari tegak di atas kepala!
Salam hormat,
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
No comments:
Post a Comment